mutakhir

[UPDATE] Waris keluarga ke-4 mangsa rentung buat ujian DNA

Oleh Farah Suhaidah Othman

EMPAT individu dipercayai waris keluarga keempat kepada mangsa rentung dalam kemalangan di Kilometer 255.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora, Sabtu lalu, tampil membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di Kuala Kangsar, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan, berkata seorang daripada individu berkenaan iaitu lelaki warga emas berusia 79 tahun dari Tawau, Sabah, mendakwa anak perempuannya salah seorang mangsa yang rentung dalam kemalangan membabitkan treler dan kereta itu.

Beliau berkata, lelaki berkenaan hadir ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar bersama ahli keluarga lain pada 1.45 tengah hari.

“Lelaki itu mendakwa anak perempuannya berusia 42 tahun adalah salah seorang mangsa dalam kemalangan itu.

“Sampel DNA diambil dan dihantar ke pejabat Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor hari ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, lelaki berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Shaw, berkata dia bersama ahli keluarganya mengetahui mengenai kejadian itu menerusi rakan pejabat anak perempuannya dalam mesej di laman Facebook, semalam.

“Rakan sekerja Michelle (nama anak perempuannya) memaklumkan kepada anak saudara saya mengenai kejadian itu sebelum anak saudara itu menghubungi saya.

“Sebaik dimaklumkan, saya bersama ahli keluarga terus menaiki penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pagi ini dan terus ke sini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar.

Shaw berkata, dia akan pulang ke Kuala Lumpur hari ini dan menunggu di kediaman anak perempuannya di Cheras sehingga memperoleh keputusan DNA.

“Sekiranya betul salah seorang mangsa adalah anak saya, kami akan membawa pulang abunya ke Tawau, Sabah.

“Anak saya sebelum ini bekerja di Tawau, namun berpindah ke Kuala Lumpur untuk menyambung pengajian di peringkat PhD doktor falsafah) dan bekerja di sana.

“Kali terakhir saya bercakap dengan anak saya kira-kira seminggu lalu, namun dia tidak memaklumkan kepada saya bahawa dia mahu ke Taiping,” katanya.

Dalam kejadian 11.45 pagi Sabtu lalu, treler membawa muatan bijih besi yang dikatakan dalam perjalanan daripada Batu Pahat, Johor, ke Pulau Pinang dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kereta Kia Forte ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan, sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Kejadian itu mengakibatkan lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak, yang dipercayai daripada empat keluarga berlainan ditemui dalam keadaan rentung akibat terbakar.

Berita berkaitan

[UPDATE] 5 rentung daripada 4 keluarga?

[UPDATE] Pemandu treler positif dadah juga...

PLUS mohon maaf

Pemandu treler pernah disaman 13 kali

[UPDATE] Lima rentung sebenarnya...[METROTV]

Disiarkan pada: October 9, 2018 @ 6:56pm
d