mutakhir

[UPDATE] Siasat segera dakwaan Mujahid

Oleh Asmah Rusman

KETUA Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mahu siasatan segera dilakukan terhadap dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa berhubung tindakan salah Lembaga Tabung Haji (TH) membayar dividen secara haram berjumlah RM12.652 bilion.

Bekas Timbalan Menteri di JPM itu berkata, jika benar pengurusan TH terdahulu melakukan tindakan salah kerana membayar dividen secara haram selama empat tahun sejak 2014, maka pengurusan TH hari ini perlu menyaman mereka berbanding membuat kenyataan awam yang boleh mencetuskan panik.

“Sepanjang memegang portfolio Timbalan Menteri di JPM, saya tidak pernah pula mendengar laporan daripada Jabatan Audit Negara mahupun audit luar berkenaan dengan isu pemberian dividen sepanjang empat tahun terdahulu.

“Apatah lagi kuasa Menteri di JPM hanya boleh mengumumkan pemberian dividen selepas disahkan Jabatan Audit Negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Asyraf turut menzahirkan kebimbangan terhadap reaksi pasaran dan pendeposit yang boleh mengeluarkan wang mereka pada bila-bila masa lantaran kurang yakin terhadap kemampuan TH untuk memberikan dividen seperti sebelum ini.

“Jika ini berlaku, TH akan berhadapan dengan krisis besar atau istilah kewangannya ‘bank-run’ yang mampu melumpuhkan sebuah institusi Islam yang besar sumbangannya kepada umat.

“Sedangkan TH tidak pernah dilaporkan mengalami kerugian bahkan setiap wang pendeposit dijamin oleh kerajaan sebagaimana peruntukan Akta Tabung Haji 1995,” katanya.

Asyraf berkata, perbezaan pandangan mengenai dasar perakaunan dalam penilaian aset TH di antara pengurusan baru dengan pengurusan lama tidak wajar disensasikan secara umum.

“Perkara ini tidak wajar disensasikan sehingga tercetus pelbagai persepsi awam mengenai kedudukan kewangan TH yang tidak tepat dan boleh memudaratkan.

“Jangan pula isu ini menjadi alasan menutup kelemahan kerajaan PH yang selama ini masih gagal menstabilkan pasaran saham dan modal negara sehingga TH tidak mampu lagi memberikan dividen yang setara atau lebih baik kepada pendeposit berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Berita berkaitan

Kos haji kekal RM9,980

TH defisit RM4.1 bilion

Isu TH: Mujahid dedah Isnin ini

Simpanan Tabung Haji dijamin selamat

Demi Allah, tak guna wang penyimpan - Abdul Azeez [METROTV]

Polis sahkan terima laporan TH

Laporan polis terhadap Azeez, Ismee, Johan

Disiarkan pada: December 10, 2018 @ 5:40pm
d