mutakhir

'Pulangkan 'handphone' saya'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PENGERUSI Masjid Ibnu Khaldun, Taman Lavender Heights, Seremban, Mohd Asna Amin yang dikaitkan dengan penemuan lima bangkai anjing di taman perumahan itu, awal bulan ini kecewa berikutan telefon bimbit miliknya yang dirampas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) masih belum dipulangkan.

Katanya, ketika sesi dialog dibuat di kabin Persatuan Warga Levender Heights (PWLH) di sini, 9 Januari lalu, Pengarah JPVNS, Dr Nik Hamidah Nik Husin berjanji di hadapan penduduk memulangkan telefon dalam tempoh sehari atau dua hari.

Menurutnya, sehingga saat ini telefon itu belum dipulangkan biarpun Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh yang menghadiri dialog meminta beliau menemui pihak veterinar.

“Telefon saya dirampas polis pada 9 Januari lalu dan diserahkan kepada pihak veterinar. Kerjasama diberi sepenuhnya termasuk siasatan sudah dihentikan (polis) tetapi telefon belum dipulangkan,” katanya.

Menurutnya, ketika pertemuannya bersama pegawai JPVNS beberapa hari lalu, mereka memaklumkan telefon tidak dapat dipulangkan kerana kes masih disiasat.

Ahli perniagaan itu berkata, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin, Jumaat lalu turut mengarahkan siasatan berkaitan penemuan bangkai anjing dihentikan.

“Kes sudah dihentikan (siasatan), kenapa telefon bimbit saya belum dipulangkan. Setahu saya hanya polis berhak merampas bukannya JPVNS,” katanya.

Menurut Mohd Asna, telefon berharga RM21,000 itu penting kerana terlalu banyak maklumat peribadi, foto keluarga dan urusan pejabatnya.

“Melalui telefon itu saya membayar gaji 300 pekerja dan pengesahan bayaran daripada pihak bank,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Mohd Asna turut kesal apabila kelab pencinta haiwan masih menularkan kes itu di Facebook biarpun pihak polis meminta semua pihak menghentikannya.

“Sehingga ke hari ini mereka masih menularkan kes termasuk berkongsi nombor telefon bimbit saya di laman sosial. Sekali lagi saya katakan, bukan saya yang membunuh haiwan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, menerusi Facebook itu juga aktivis kelab terbabit menuduh pihak polis tidak adil dalam siasatan.

Sementara itu, Nik Hamidah ketika dihubungi enggan mengulas lanjut perkara itu dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.

Berita berkaitan

Polis henti siasat kes racun anjing

Maruah saya tercemar - Pengerusi masjid

Henti kecam jika tidak tahu apa...

Pengurusan masjid difitnah racun anjing

Anjing mati diracun

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 6:29pm
d