mutakhir

Cuaca panas punca feri terbakar

Oleh Zuliaty Zulkiffli

FAKTOR angin kuat serta cuaca panas selain bahan mudah terbakar di dalam feri penumpang Dragon Star 1 di Langkawi menyebabkan api marak dengan cepat.

Itu antara punca siasatan awal Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Kedah dalam kejadian feri terbakar sebaik keluar dari Terminal Feri Langkawi, semalam.

Menurut Ketua Cawangan PGO JBPM Kedah, Penguasa Bomba Tuan Zamani Ismail, tindakan pantas anggota bomba tiba ke lokasi feri terbakar menyelamatkan mangsa dengan menggerakkan mereka keluar dari feri.

Tuan Zamani berkata, kebetulan ketika kejadian, anggota Bomba sedang membuat persediaan mengadakan Latihan Mencari Dan Menyelamat (SAREX) di Terminal Feri Langkawi.

"Justeru, pasukan bomba dapat sampai dengan cepat ke lokasi kebakaran selain bantuan daripada bot persendirian dan bot nelayan berhampiran.

"Kerja pemadaman dilakukan menggunakan pancutan air dan buih sabun daripada dua bot jenis Kevlar," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti di Alor Setar, hari ini.

Tuan Zamani berkata, feri itu mengalami kebakaran lebih 80 peratus bagaimanapun, tiada kemalangan nyawa atau parah kepada penumpang.

"Pihak kami (JBPM) Kedah juga akan berbincang dengan pengusaha feri langkah untuk lebih bersedia sekiranya berhadapan dengan kejadian kecemasan seperti ini.

"Beberapa pegawai Bahagian Siasatan Kebakaran JBPM Kedah akan menjalankan siasatan lanjut berkaitan feri itu hari ini untuk mengetahui punca sebenar kejadian," katanya.

Dalam kejadian 2.40 petang semalam, seramai 52 penumpang dan enam anak kapal berjaya diselamatkan selepas feri dinaiki mereka terbakar di perairan berhampiran jeti penumpang di Kuah.

Feri itu dikatakan baru 10 minit berlepas dari jeti itu menuju ke Kuala Perlis.

Berita berkaitan:

  • Feri terbakar di perairan Langkawi
  • [UPDATE] Penumpang feri selamat [METROTV]
  • Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 2:38pm
    d