mutakhir

[UPDATE] Panik punca buang mayat

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

LELAKI yang membuang mayat Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, mendakwa melakukan perbuatan itu kerana panik selepas isterinya yang juga seorang jururawat memberitahu kanak-kanak berkenaan sudah tidak bernyawa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid berkata, siasatan awal polis, suspek mendakwa mangsa tiba-tiba jatuh sakit dan dia meminta isterinya memeriksa kanak-kanak terbabit.

Bagaimanapun, menurutnya, wanita itu memberitahu mangsa sudah mati menyebabkan lelaki terbabit panik kemudian membuang mayat mangsa ke Jalan Gunung Raya, Langkawi.

“Setakat ini dia (suspek) mendakwa mangsa jatuh sakit, namun kita masih menyiasat motif sebenar dia bertindak sedemikian.

“Dakwaan mangsa mengalami sawan juga tidak boleh disahkan lagi kerana masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kehilangan Nur Aisyah Aleya disedari ibunya, Rosmaliah Samo, 31, selepas pergi ke kediaman pasangan itu di kuarters Hospital Langkawi untuk mencari anaknya, minggu lalu.

Rosmaliah kemudian membuat laporan polis pada Ahad lalu selepas seorang daripada suspek memberitahu kanak-kanak itu diserahkan kepada pihak ketiga untuk dijaga.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan mayat Nur Aisyah Aleya yang hilang ketika dalam jagaan pengasuhnya di Kuarters Hospital Langkawi, Kedah, hujung Februari lalu ditemui di Gunung Raya, Langkawi, hari ini.

Berita berkaitan

[UPDATE] Hanya cebisan rambut, tengkorak Nur Aisyah

[UPDATE] Mayat Nur Aisyah dah ditemui

Dari Langkawi lari ke Ampang...

'Kanak-kanak perempuan 3 tahun hilang'

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 2:57pm
d