mutakhir

Masih tiada petunjuk pencarian Acap

Oleh Farah Suhaidah Othman

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf Hassan yang memasuki hari keenam hari ini difokuskan di sepanjang laluan peserta Gopeng Ultra Trail sepanjang 25 kilometer.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Yunus Abu berkata, pihaknya dengan bantuan pelbagai agensi penyelamat masih bertungkus-lumus mencari Mohammad Ashraf yang hilang sejak Sabtu lalu, namun masih gagal menemui petunjuk.

Katanya, setakat 6 petang hari ini pihaknya menjalankan lebih perincian terhadap operasi SAR dari ‘check point’ pertama hingga ke garisan penamat laluan peserta sejauh 25 kilometer.

“Bagi JBPM, kita masih menggunakan khidmat pasukan khas iaitu MUST dan STORM, manakala khidmat anjing pengesan (K9) bomba tidak lagi digunakan hari ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mohd Yunus berkata, aktiviti pencarian turut dibantu orang awam dan rakan mangsa, namun kita meminta mereka yang memberi bantuan itu supaya memaklumkan kepada pihak bomba bagi tujuan keselamatan.

“Sebelum orang awam mahu menjalankan usaha mencari, mereka perlu pergi secara berkumpulan dan memaklumkan di pusat operasi supaya kita tahu pergerakan mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya ada bertemu ahli keluarga Mohammad Ashraf dan mereka memaklumkan yakin Mohammad Ashraf masih hidup serta selamat.

“Kita harap masyarakat tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengguris hati keluarga (Mohammad Ashraf) dan biar pasukan SAR terus menjalankan operasi,” katanya.

Berita berkaitan

Rakan yakin Acap selamat

Peserta hilang ketika larian

'Baliklah Acap, mak masak asam pedas...'

Masih tiada petunjuk

Disiarkan pada: March 29, 2019 @ 10:44pm
d