mutakhir

Pemandu langgar lari serah diri

Oleh Mohd Roji Kawi

SELEPAS dua hari menghilang, pemandu kereta BMW yang terbabit dalam kes langgar lari sehingga menyebabkan kematian penghantar surat khabar pagi Jumaat lalu, menyerah diri, malam tadi.

Lelaki berusia 49 tahun yang bekerja sebagai juruelektrik itu ditahan selepas tampil di Pusat Sehenti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 7.15 malam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, sejurus ditahan pihaknya merakam percakapan lelaki itu dan kemudian membawanya ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk diambil spesimen darah bagi pemeriksaan alkohol dan dadah dalam darah.

“Hasil rakaman percakapan, lelaki itu mendakwa kereta BMW yang dipandunya ketika kejadian itu adalah milik kawannya.

“Dia mendakwa melarikan diri selepas kejadian itu kerana takut dan panik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian 6.15 pagi Jumaat lalu, penghantar surat khabar, Chong Kui Hin, 67, maut di tempat kejadian di Jalan Tun Jugah, di sini, akibat parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya dirempuh dari belakang oleh kereta BMW.

Kereta yang melanggar mangsa bagaimanapun melarikan diri selepas kejadian itu, namun ditemui ditinggalkan di tepi Jalan Airport, berhampiran Kuching Sentral.

Berikutan itu, polis melancarkan gerakan mengesan pemandu kereta terbabit selepas semakan mendapati kereta berkenaan didaftarkan atas nama sebuah syarikat.

Bagaimanapun, polis menghadapi kesukaran apabila siasatan lanjut mendapati syarikat terbabit didapati sudah tidak lagi beroperasi.

Alexson berkata, dengan penahanan lelaki itu malam tadi, kes berkenaan kini berjaya diselesaikan.

Berita berkaitan

Ajal penghantar surat khabar

Pemandu langgar lari diburu

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 9:20am
d