mutakhir

'Tak wajar saya kembali jadi MB'

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

“SAYA sudah tua... rasanya tidak wajar untuk saya kembali.” Itu jawapan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berseloroh sebaik ditanya desas-desus mengatakan beliau akan dilantik kembali menjadi Menteri Besar Johor menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan Selasa lalu.

Muhyiddin berkata, biarpun pernah menjawat jawatan berkenaan dari tahun 1986 hingga 1995 ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, namun kini tiada kewajaran untuk beliau kembali menerajui negeri itu.

Bagaimanapun, beliau sedia membantu mana-mana individu yang akan dilantik Sultan Johor bagi membangunkan negeri berkenaan.

“Di Johor, hubungan antara kerajaan dan Institusi Diraja adalah antara perkara utama.

“Biarpun ada timbul sedikit masalah namun itu hanya berdasarkan pandangan masing-masing dan dalam kes Johor, hubungan kedua-dua pihak itu harus berjalan dengan baik,” katanya dalam sidang media ketika mengadakan lawatan kerja di Stesen Udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Subang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar.

Menurut Muhyiddin, beliau juga tidak kisah jika parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) ingin meletakkan calon bagi jawatan berkenaan.

“Bagi saya, nak cadang sesiapa pun tidak mengapa... ia bukan satu krisis dalam Pakatan Harapan atau perbalahan infra Pakatan Harapan.

“Asalkan perkara utama pelantikan Menteri Besar Johor yang baru dapat diselesai serta diputuskan,” katanya.

Berita berkaitan

‘Saya akan jelaskan Sabtu ini’ - Osman

Bakal MB Johor perlu berpengalaman, baik dengan istana

'[UPDATE] MB Johor milik BERSATU - Anwar

'Umum pemangku MB Johor segera

'[UPDATE] Memimpin Johor bukan mudah - Mohamed Khaled

'https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/04/442878/update-mb-johor-paling-singkat

'Dia mahu letak jawatan, kami terima' - PM

MB Johor letak jawatan

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 1:27pm
d