mutakhir

Tak perlu bubar DUN Johor - Muhyiddin

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

CADANGAN UMNO Johor yang berhasrat menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri Johor diadakan dianggap tidak wajar serta tidak masuk akal.

Ia kerana tindakan untuk membubarkan DUN susulan peletakan jawatan Menteri Besarnya, Datuk Osman Sapian, Selasa lalu adalah hak parti yang memenangi majoriti kerusi dalam pilihanraya lalu dan yang mentadbir negeri kini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, cadangan Ketua Pembangkan iaitu Pengerusi UMNO Johor Datuk Hasni Mohammad bercanggah dengan amalan pelantikan Menteri Besar di negeri itu.

Katanya, menerusi perkara yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Johor, pelantikan Menteri Besarnya adalah mesti daripada parti yang memenangi majoriti kerusi dalam pilihanraya dan tidak perlu melalui proses pilihan raya sekali lagi.

“Sepatutnya yang boleh membubarkan DUN Johor adalah hak parti atau kerajaan negeri pada masa kini dan bukan hak pembangkang.

“Dalam hal (kekosongan jawatan) Menteri Besar Johor, ia tidak memerlukan pembubaran DUN bagi memberi laluan pilihan raya berikutan ia boleh digantikan dengan individu lain daripada parti yang memenangi majoriti undi terbanyak iaitu Pakatan Harapan (PH).

“Jadi saya tak faham kewajaran cadangan UMNO Johor mahu berjumpa Sultan Johor untuk memohon membubarkan DUN Johor,” katanya dalam sidang media ketika lawatan kerja di Stesen Udara Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Subang hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar.

Muhyiddin berkata, PH mempunyai tiga calon yang akan menggantikan Osman dan berharap agar pelantikan Menteri Besar Johor yang baru dapat diselesaikan dengan segera.

Katanya, menerusi persetujuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Johor akan kekal diterajui oleh pemimpin dari Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Di Johor, Sultan berkuasa melantik calon yang dikemukan oleh parti yang menang majoriti undi.

“Jadi, saya berharap agar pelantikan Menteri Besar Johor yang baru ini dapat diselesaikan dengan kadar segera,” katanya.

Berita berkaitan

'Tak wajar saya kembali jadi MB'

‘Saya akan jelaskan Sabtu ini’ - Osman

Bakal MB Johor perlu berpengalaman, baik dengan istana

'[UPDATE] MB Johor milik BERSATU - Anwar

'Umum pemangku MB Johor segera

'[UPDATE] Memimpin Johor bukan mudah - Mohamed Khaled

'https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/04/442878/update-mb-johor-paling-singkat

'Dia mahu letak jawatan, kami terima' - PM

MB Johor letak jawatan

Disiarkan pada: April 11, 2019 @ 2:39pm
d