mutakhir

[UPDATE] MOTAC tak sokong bawa masuk budaya luar

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) tidak menyokong usaha membawa masuk budaya masyarakat luar semata-mata mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, sebaliknya kerajaan pusat akan terus memastikan kepelbagaian budaya dan seni warisan masyarakat tempatan terus berkembang serta terpelihara melalui pelbagai pengiktirafan sehingga ke peringkat tertinggi seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

“Perlu kita pelihara (seni dan budaya tempatan). Negara kita cukup dengan pelbagai budaya tersendiri yang boleh diangkat dan diketengahkan.

“Tetapi kita tidak bawa daripada luar (budaya luar) untuk (asimilasi) budaya kita,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas pendirian Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengundang kumpulan K-Pop dari Korea, Bangtan Boys (BTS) ke negara ini bagi mempromosikan TMM2020.

Hasrat kementerian itu bagaimanapun menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk bekas Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) malah artis tanah air.

Terdahulu, beliau menyampaikan Sijil Pengiktirafan ‘Dondang Sayang In The Representative List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity’ oleh UNESCO kepada Kerajaan Negeri Melaka yang diwakili Ketua Menteri, Adly Zahari.

Ahli Parlimen Silam itu turut mendakwa tidak ada sebarang bentuk kerjasama atau persetujuan membabitkan usaha KBS itu namun tidak melarang jika ia diusahakan berdasarkan kapasiti artis luar negara itu sendiri.

“Kita tidak larang (membuat persembahan di Malaysia) jika masuk atas dasar kapasiti sendiri tetapi untuk guna (artis Korea) sebagai budaya (dalam negara) kita tidak sokong,” katanya.

Berita berkaitan

'Apa hebatnya kpop?' - Awie

'Bukan tak hargai artis tempatan...'

Perlu ke bawa BTS?

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 7:15pm
d