mutakhir

Laporan jentera cap ayam hujung bulan ini [METROTV]

Oleh Farah Suhaidah Othman

LAPORAN awal berhubung siasatan jentera pemadam kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tersadai akibat kerosakan dijangka diperolehi selewat-lewatnya pada hujung bulan ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, satu jawatankuasa diwujudkan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) kementerian bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan berhubung isu berkenaan.

“Setakat ini, jawatankuasa berkenaan masih mengaudit dan belum memberikan laporan kepada KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

“Insya-Allah, dalam masa terdekat, dalam hujung bulan ini laporan awal akan diterima,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya di Ipoh, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kegagalan pembekal menyediakan reka bentuk dan pemasangan peralatan mengikut spesifikasi sepatutnya dipercayai punca utama jentera pemadam kebakaran JBPM yang dibeli pada 2007, 2010 dan 2014 tersadai.

Berdasarkan laporan itu, perolehan 242 jentera JBPM atau Fire Rescue Tender (FRT) bagi ketiga-tiga tahun itu membabitkan nilai RM420 juta dan hampir 40 peratus atau 97 jentera JBPM bernilai RM165 juta di seluruh negara terutama Selangor kini mengalami kerosakan.

Mengenai tawaran syarikat yang membekalkan jentera berkenaan sejak 2017, Zuraida berkata, keputusan untuk menawarkan rundingan terus kepada syarikat berkenaan dibuat oleh kerajaan terdahulu.

“Bagaimanapun, kita sedang semak sama ada rundingan terus itu diberikan berdasarkan dasar atau keadaan tertentu ketika keputusan itu dibuat,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata, KPKT sudah menyerahkan tawaran tender kepada syarikat yang berjaya memperoleh tender baju kalis api JBPM.

Menurutnya, setakat ini syarikat berkenaan sedang melakukan penilaian teknikal terhadap perolehan terbabit dan berada pada fasa akhir penilaian.

Katanya, KPKT juga sudah memaklumkan kepada Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad Hamdan Wahid untuk menyediakan prosedur operasi standard (SOP) baru dalam ujian kelayakan bagi pengambilan anggota bomba wanita.

“Saya dimaklumkan jumlah anggota bomba wanita di seluruh negara lebih kurang 200 lebih saja atau lima peratus daripada 14,000 anggota bomba di seluruh negara.

“Di JBPM, ada tugas dan jawatan tertentu memerlukan sentuhan wanita, ketika ini memang peluang pekerjaan dibuka kepada semua tetapi golongan wanita kurang memohon kerana menyangka tugas fizikal dan kasar.

“Ini yang perlu kita promosikan, ada jawatan tertentu yang bersesuaian seperti memberi bimbingan kaunseling bagi mangsa trauma dan sebagainya,” katanya.

Berita berkaitan

Audit menyeluruh aset bomba - Lee

KPKT tunggu laporan jentera bomba tersadai [METROTV]

Jentera bomba cap ayam [METROTV]

Disiarkan pada: May 12, 2019 @ 8:46pm
d