mutakhir

40 pertuduhan terhadap Zahid - Latheefa

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdepan 40 pertuduhan menerima wang sogokan berjumlah RM47 juta, termasuk tujuh pertuduhan, hari ini.

Perkara itu didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Beebi Koya, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, hari ini.

Latheefa berkata, hari ini Ahmad Zahid dituduh dengan tujuh pertuduhan manakala bakinya akan dituduh sekali lagi esok.

Menurutnya, ini bukan kes rasuah biasa kerana membabitkan pemimpin tinggi dalam kerajaan ketika kesalahan itu berlaku dan membabitkan jumlah yang besar.

“Ini memberi kesan kepada kepentingan awam kerana kesalahan yang dilakukan serius dan SPRM akan menyerahkan segala keputusan kepada mahkamah.

“Dalam pertuduhan itu membabitkan Dollar Singapura bermula S$300,000 hingga lebih S$1 juta bersamaan RM47 juta kerana transaksi dijalankan wang tunai negara berkenaan,” katanya, hari ini.

Ahmad Zahid berdepan pendakwaan mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Katanya, SPRM akan memberikan ruang kepada kerajaan sekiranya akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap syarikat yang terbabit.

Latheefa berkata, setakat ini hanya Ahmad Zahid yang dituduh kerana terdapat bukti kukuh manakala pihak lain antaranya pegawai dan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia akan dipanggil ke mahkamah berhubung kes ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu melihat semula kelompangan pada prosedur permohonan visa kepada pelancong China agar kejadian sama tidak berulang.

“Sistem prosedur yang ada ketirisan akan dimaklumkan Bahagian Pemeriksaan Perundingan SPRM kepada Kementerian Dalam Negeri secepat mungkin untuk Menteri menilai semula sistem yang digunakan dalam kes ini,” katanya.

Ahmad Zahid didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima wang sogokan bagi kegunaan peribadi daripada syarikat swasta yang diberi hak eksklusif mengendalikan kemasukan pelancong China ke negara ini.

Penyelewengan membabitkan syarikat terbabit mula didedahkan Harian Metro melalui laporan eksklusif bertajuk ‘Beruk boleh mohon’ [METROTV] pada 14 November 2018 yang mana wartawan ke Guangzhou, China bagi melihat operasi dilakukan syarikat terbabit

Dalam pendedahan itu, eNTRI yang diperkenalkan menerusi sebuah syarikat pada Mac 2016 hingga September 2018, dipercayai sudah mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang namun tapisan keselamatan yang lemah membolehkan kelulusan diberikan kepada seekor beruk yang diberikan identiti palsu.

Berita berkaitan:

  • Zahid kena 40 tuduhan
  • Salah guna kedudukan
  • Dakwa bekas menteri
  • Ancaman besar kepada negara
  • Beruk boleh mohon [METROTV]
  • Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 11:48am
    d