mutakhir

'Di sini bukan pesta'

Oleh Rosli Ilham

“JANGAN anggap ini pesta, meskipun harimau itu kelihatan jinak namun kita bimbang perkara yang tidak diingini berlaku,” kata Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan penemuan dua harimau yang dilaporkan berkeliaran di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, sejak semalam.

Katanya, pihaknya menerima laporan terdapat penduduk luar pergi ke kampung itu untuk melihat harimau.

“Ketika berada di kawasan kampung itu, tiba-tiba muncul harimau dekat dengannya yang menyebabkan dia terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.

“Nasib baik harimau itu tidak berbuat sesuatu terhadapnya sebelum harimau itu berlalu pergi.

“Biarpun haiwan itu tidak liar atau pun bertindak ganas, namun kami bimbang haiwan itu bertukar agresif,” katanya.

Baharudin berkata, pihaknya sudah mengarahkan anggota dari Balai Polis Bukit Besi untuk mengawal keadaan di kawasan itu.

Katanya, anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) juga sedang berusaha menangkap haiwan terbabit.

“Saya minta kerjasama semua menjauhi kawasan itu dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas menangkap haiwan terbabit.

“Penduduk juga perlu berwaspada ketika melalui kawasan yang dikenal pasti menjadi lokasi harimau itu berkeliaran.

“Penduduk diminta tidak keluar pada waktu malam memandangkan kawasan di situ yang dipenuhi hutan dan semak samun serta gelap,” katanya.

Berita berkaitan

Harimau haiwan peliharaan?

Seram sejuk badan dijilat harimau

Rimau `jinak' masuk kampung [METROTV]

Disiarkan pada: July 19, 2019 @ 11:27am
d