mutakhir

KPM, KPDNHEP kerjasama banteras jualan vape

Oleh Iskandar Shah Mohamed

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan berkerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi membanteras penjualan rokok elektronik dan vape kepada murid sekolah.

Unit Komunikasi Korporat KPM dalam satu kenyataan berkata, kementerian amat memandang serius isu jualan bahan terlarang seumpama itu yang tular sejak kebelakangan ini.

“Berdasarkan hasil pemantauan dan aduan yang diterima, bahan seperti rokok elektronik dan vape berkenaan dijual di luar kawasan sekolah.

“Sehubungan itu, bagi memastikan ia tidak terus berleluasa, kementerian akan berkerjasama erat dengan KPDNHEP untuk membendung jualan bahan berkenaan terutama kepada murid sekolah,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KPM turut mengambil langkah sewajarnya dalam memberi pendedahan berhubung larangan membeli dan bahaya penggunaan bahan itu daripada aspek kesihatan.

“Selain itu, ibu bapa diingatkan supaya memantau kegiatan anak-anak mereka yang menjurus ke arah kegiatan berkenaan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan kewujudan pelbagai jenis vape bersaiz kecil antaranya berbentuk pen, jam tangan, pemetik api, pemacu pena hingga ada antaranya bersaiz sebesar kotak mancis antara punca vape menjadi kegilaan baru murid serta pelajar sekolah.

Ia mendapat reaksi banyak pihak termasuk Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), yang mahu tindakan proaktif diambil segera semua pihak terutama ibu bapa untuk menangani isu berkenaan.

Berita berkaitan:

  • Syor tampal poster bahaya vape
  • Selia jualan online
  • Rujuk kenyataan sudah dikeluarkan - Dr Maszlee [METROTV]
  • Budak berasap
  • Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 7:47pm
    d