mutakhir

Dua beranak didakwa abai, dera remaja OKU

Oleh Aizat Sharif dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PENJUAL nasi lemak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar hari ini, atas kesalahan pengabaian seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) di Arau pada minggu lalu.

Tertuduh, Zarina Murni Mohd Hashim, 40, yang pada mulanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu selepas dibacakan kali pertama bertindak menukar pengakuannya kepada tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan semula di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Zarina sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun didakwa mengabaikannya di sebuah rumah di No 8, Jalan Padang Nyu, Kampung Gial pada 2018 dan 2019.

Wanita itu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nur Diyana Ab Shukor.

Mahkamah turut membenarkan permohonan tertuduh untuk diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Ogos nanti sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sementara itu, anak sulung tertuduh berusia 15 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kangar hari ini, terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adiknya itu.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada adiknya menggunakan sebatang ‘soldering iron’, paip getah dan penyangkut plastik di lokasi yang sama pada 6 pagi, 1 Julai lalu.

Remaja itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksen 326A Kanun Keseksaan dimana boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Poh Yi Tying manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagaimanapun, Majistret Norhayati Ibrahim memerintahkan tertuduh tidak diikat jamin disebabkan tiada penjaga.

Mahkamah juga menetapkan tertuduh dihantar ke Penjara Juvana Sungai Petani sementara menantikan laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah menetapkan 4 September hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menentukan hukuman yang akan ditetapkan.

Pada Ahad lalu, rakaman seorang remaja perempuan dipaksa tidur di luar rumah tersebar di media sosial.

Selain dipaksa tidur di luar rumah, mangsa dipercayai turut disimbah air panas, dipukul dengan batang buluh dan anggota badannya dikepit playar.

Berita berkaitan

Tergamaknya ibu dan abang [METROTV]

Ibu dan anak direman 4 hari [METRO TV]

JKM tunggu siasatan polis

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 3:09pm
d