mutakhir

Hana, Hani jadi anak angkat PERKESO

Oleh Nur Lela Zulkipli

DUA beradik yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan, Selasa lalu menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Shah Alam, hari ini.

Hana Safiyyah, 6, dan adiknya, Hani Safina, 2, anak kepada pasangan Muhammad Hamadi Zakaria, 31, dan Nur Syuhadah Zaini, 31, layak menerima bantuan menerusi Faedah Orang Tanggungan PERKESO iaitu RM2,133 setiap seorang.

Selain itu, kedua-dua ahli keluarga mangsa turut menerima bantuan menerusi Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM2,000 setiap seorang.

Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohamed Azman Aziz Mohamed berkata, bantuan kepada dua beradik itu akan diberikan secara berterusan sehingga kedua-duanya berumur 21 tahun atau tamat pengajian di peringkat ketiga.

“Bantuan ini akan dikreditkan terus secara bulanan kepada akuan penjaga kedua-dua beradik ini iaitu datuk dan nenek mereka.

“Diharapkan dengan bantuan ini, waris dua anak yatim piatu ini membantu membesarkan mereka sehingga mereka berdikari,” katanya pada sidang akhbar di rumah keluarga mangsa di Seksyen 11, Shah Alam, hari ini.

Menerima Hana dan Hani adalah datuk serta nenek mereka, Zaini Haziz, 61, dan Fatimah Mohd Yatim, 60.

Beliau berkata, kedua-dua beradik itu secara rasmi akan dijadikan anak angkat PERKESO dan diberikan bimbingan menerusi Program Prihatin Keluarga Angkat PERKESI (Protrek).

“PERKESO akan sentiasa memantau mereka dan memberi bantuan dari segi keperluan seperti pelajaran, contohnya seperti program tuisyen dan sebagainya

“Menerusi program ini, kita dapat memantau perkembangan mereka dan mahu faedah diterima itu dapat membantu mereka membesar sebaik mungkin dan tidak terabai,” katanya.

Selasa lalu, Harian Metro melaporkan dua kanak-kanak menjadi anak yatim piatu dalam sekelip mata apabila ibu bapa mereka maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu, penunggang motosikal berkuasa tinggi Honda CBR500, Muhammad Hamadi dan isteri, Nur Syuhadah sebagai pembonceng meninggal dunia di lokasi kejadian.

Berita berkaitan

Bantal arwah ibu peneman Hana, Hani

Air mata Hana, Hani

'Allah lebih menyayangi mereka'

Air mata ibu sebelum ke Tanah Suci

Jenazah Hamadi, isteri selamat dikebumikan

Sebak hajat anak, menantu tak kesampaian

Suami isteri maut rempuh motosikal bergesel

Disiarkan pada: July 26, 2019 @ 8:38pm
d