mutakhir

Empat lelaki disambung reman

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

EMPAT individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes suami isteri mati disyaki dibunuh sebelum rumah mereka dibakar di Taman Desa Melati, Nilai, disambung reman tujuh hari.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mahkamah membenarkan tahanan reman terhadap tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 45 tahun itu disambung sehingga 8 Ogos ini.

“Sebelum ini polis menahan mereka secara berasingan di sekitar Lembah Klang dan Nilai antara 25 dan 26 Julai lalu dan mendapat perintah reman selama tujuh hari sehingga hari ini.

“Bagaimanapun, kita membuat permohonan di mahkamah untuk menyambung reman semua suspek itu bagi melengkapkan lagi siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Isnin lalu, seorang lagi wanita berusia 28 tahun ditahan polis di Balai Polis Mantin dan direman tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, mayat suami isteri yang dipercayai dibunuh sebelum rumah mereka dibakar ditemui sepasukan bomba yang menjalankan operasi memadamkan kebakaran.

Mayat Tan Kim Joo, 73, ditemui di bahagian dapur rumah dengan kesan kelar di tangan kiri dan lengan selain luka dahi manakala isterinya, Ng Chong Hwa, 67, ditemui di dalam bilik dengan kesan tikaman di dada serta kelar di lengan kiri.

Keputusan bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJS) Seremban mengesahkan suami isteri itu mati disebabkan tikaman berganda.

Berita berkaitan

Masih siasat motif kelar, tikam, bakar

Maut akibat tikaman berganda

'Kes bunuh, bakar: Empat individu ditahan'

'Kelar, tikam, bakar'

'Polis jumpa kesan tikam, kelar'

'Mayat suami di dapur, isteri di bilik'

'Suami isteri dibunuh sebelum dibakar'

Disiarkan pada: August 1, 2019 @ 2:33pm
d