mutakhir

Paha Haziq kena masuk besi

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

SEORANG mangsa insiden lif Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur, yang terhempas dari tingkat lima Jumaat lalu, menjalani pembedahan memasukkan besi di paha, hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, mangsa terbabit iaitu Mohd Haziq Zakwan, 10, akan menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM).

“Mohd Haziq akan menjalani pembedahan itu hari ini bagi merawat kecederaan yang dialami.

“Selain Mohd Haziq, dua lagi mangsa yang turut mengalami kecederaan di kaki masih lagi menerima rawatan di hospital, manakala lima yang lain sudah dibenarkan pulang,” katanya kepada Harian Metro selepas meninjau keadaan terkini lif di PPR Kerinchi, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang Jumaat lalu itu, lapan cedera termasuk empat mangsa patah kaki apabila lif yang dinaiki terhempas dari tingkat lima, dipercayai akibat sistem brek tidak berfungsi.

Difahamkan, ketika kejadian, penduduk baru pulang dari solat Jumaat dan menaiki lif untuk ke tingkat atas.

Namun setibanya di tingkat lima, pintu lif terbabit terbuka dan secara tiba-tiba terhempas ke bawah.

Menurut Ahmad Fahmi lagi, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur petang ini bagi membincangkan insiden berkenaan selain beberapa perkara lain yang berbangkit.

Katanya, penduduk kini masih trauma dengan kejadian Jumaat lalu dan berharap audit keselamatan dapat dilakukan di semua PPR dan projek perumahan awam.

“Ia bukan sahaja membabitkan lif tetapi semua kemudahan lain yang disediakan termasuk laluan jalan raya.

“Ini kerana pada waktu malam, kereta padat di kiri kanan jalan dan keadaan itu menyukarkan tugas pihak keselamatan jika berlakunya kemalangan atau kecemasan,” katanya.

Sementara itu, Jamaliah Nordin, 60 berkata, penduduk berharap insiden itu tidak berulang.

“Masalah kerosakan lif di perumahan ini memang sudah menjadi lumrah dan kejadian lif terhempas juga bukan pertama kali berlaku.

“Kita harap pihak terbabit tidak mengambil mudah mengenai perkara ini kerana ia membabitkan keselamatan dan nyawa penduduk,” katanya.

Berita berkaitan

'Harap buka mata pihak berkaitan'

Kaji semula SOP selenggara lif

Lif berhenti mengejut, bukan terhempas

Lif menggelongsor laju

Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 12:16pm
d