mutakhir

SAR pelancong berkayak hilang ditamatkan

Oleh BERNAMA

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) seorang daripada dua rakyat Singapura yang masih hilang ketika berkayak di perairan Mersing, 8 Ogos lalu ditamatkan, hari ini.

Ia selepas tiada petunjuk baharu ditemukan oleh pasukan penyelamat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, operasi bagaimanapun akan diaktifkan semula jika terdapat petunjuk baharu.

“Operasi ditamatkan kerana tiada lagi sebarang petunjuk baharu ditemukan selepas menjumpai mangsa wanita (seorang daripada mereka) pada 14 Ogos,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sebelum itu operasi telah pun dijalankan selama 10 hari meliputi skop pencarian dari udara, permukaan laut, pesisir pantai dan di pulau yang membabitkan seramai 155 anggota, lima aset udara dan 11 aset laut pelbagai agensi.

Beliau memberitahu anggaran kos operasi juga sudah mencecah RM431,380.

Puah Geok Tin, 57, bersama Tan Eng Soon, 62, dilaporkan hilang selepas terpisah daripada 13 rakan mereka ketika berkayak di perairan Mersing.

Mereka terpisah berikutan laut bergelora dan angin kuat ketika itu namun mayat Puah ditemui di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman, Terengganu pada 14 Ogos lalu, manakala mayat Tan belum dijumpai.

Berita berkaitan:

  • Lega mayat ibu ditemui [METROTV]
  • Jumpa mayat disyaki pelancong berkayak [METROTV]
  • Pelancong berkayak hilang
  • Carian diperluas hingga ke Marang
  • Disiarkan pada: August 19, 2019 @ 4:18pm
    d