mutakhir

'Tolonglah...saya sudah terdesak'

Oleh Mohamad Hussin

“SAYA hanya mahu keadilan dan berharap kerajaan dapat mendengar masalah kami yang terpaksa berpindah dan mencari rumah lain kata Elawati Amir, 32, penduduk Kampung Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh selepas rumahnya bakal dirobohkan.

Menurutnya, dia kini dalam keadaan terdesak dan memerlukan wang untuk kos pemindahan termasuk deposit rumah sewa.

Katanya, sehingga kini semua pihak ‘membisu’ dan tidak memberitahu kedudukan sebenar menyebabkan penduduk tertekan dengan situasi itu.

“Saya ada menerima maklumat bahawa kerajaan akan membayar kos pemindahan sebanyak RM7,000 bagi setiap penduduk yang terbabit.

“Sekurang-kurangnya dengan wang itu, saya dapat gunakan untuk membayar deposit rumah sewa dan kos pemindahan kerana kami tidak mampu menyediakan duit sebanyak itu.

“Kebanyakan rumah sewa di kawasan ini mengenakan bayaran sewa antara RM550 hingga RM800 sebulan dan ia tidak termasuk deposit elektrik dan air sebanyak RM400,” katanya yang ditemui di rumahnya hari ini.

Elawati berkata, dia diberi notis sehingga 10 Oktober ini untuk mengosongkan rumahnya supaya kerja meroboh dapat dijalankan bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Kedondong bagi mengatasi masalah banjir kilat.

“Sepatutnya saya kena pindah lebih awal tetapi membuat rayuan untuk menangguhkannya kerana anak saya akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bermula Isnin depan hingga 8 Oktober.

“Saya tidak sempat membuat persediaan berpindah dan merayu agar pihak berkuasa dapat memberi kelonggaran berpindah pada Disember depan sama seperti penduduk di plot A dan B.

“Saya berasa amat tertekan di saat anak akan menghadapi peperiksaan dan terpaksa mencari rumah sewa lain yang memerlukan sumber kewangan,” katanya.

Menurutnya, dia sedih kerana rumah yang dibangunkan 20 tahun lalu dengan kos sebanyak RM100,000 akan dirobohkan kerana tidak mengetahui ia adalah tanah rizab.

“Semua penduduk yang rumah mereka sudah dirobohkan terpaksa menumpang di rumah saudara dan jiran selepas penempatan sementara terpaksa dikosongkan Isnin lalu,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan sebanyak 37 rumah dibina atas tanah rizab sungai dirobohkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Kedondong untuk mengatasi masalah banjir kilat.

Bagaimanapun, pihak berkuasa terbabit juga sudah memberi tempoh kepada pemilik 56 rumah lain sebelum dirobohkan bagi membolehkan anak mereka menduduki PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terlebih dahulu.

Berita berkaitan

LZS kenal pasti 9 keluarga miskin

Jangan politikkan isu Paya Jaras Hilir

Ke mana kami mahu pergi?

'Tak peduli kenapa roboh, kami tetap bantu' - LZS

Dah tiga kali tangguh...

'Kami semua bukan itik'

Mahu tangguh roboh rumah

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 8:04pm
d