mutakhir

'Kami akur tetapi....' [METROTV]

Oleh Mohamad Hussin

“KAMI akur dengan arahan dan rela berkorban jika rumah kami diroboh bagi kebaikan kejiranan supaya tidak berlaku banjir lagi.

“Namun janganlah bagi harapan palsu kepada penduduk berhubung tawaran rumah dan pampasan,” kata Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Paya Jaras Hilir, Azroy Abdul Manaf.

Menurutnya, pihaknya terkilan kerana kerajaan masih berdolak dalik dan mengelirukan penduduk berhubung isu bayaran pampasan.

Katanya, ramai menganggap penduduk menerima pampasan dan rumah namun hingga kini tiada keputusan dibuat.

“Sudahlah rumah kami diroboh dan penduduk ditindas supaya berpindah tanpa sebarang pampasan.

“Segala janji yang dibuat adalah palsu dan tidak masuk akal menyebabkan penduduk tertekan.

“Sebahagian rumah penduduk mempunyai geran tanah tetapi terpaksa dirobohkan tanpa sebarang pampasan,” katanya ditemui di Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh hari ini.

Azroy berkata, penduduk mahu pembelaan seadilnya kerana kebanyakan mereka bukan berpendapatan tinggi dan tidak mampu menanggung kos perpindahan.

“Rumah Selangorku yang ditawarkan kerajaan negeri juga perlu dibeli dengan harga RM42,000 bukannya pampasan.

“Saya difahamkan, pemaju hanya memberikan kuota 32 unit Rumah Selangorku berbanding 92 rumah yang terpaksa dirobohkan.

“Tidak semua penduduk mampu membeli rumah kerana mereka tidak layak membuat pinjaman bank atau bekerja kampung dengan pendapatan kecil.

“Sembilan penduduk saja layak menerima bantuan sewa rumah RM600 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana golongan asnaf,” katanya.

Menurutnya, ada penduduk masih menumpang di rumah saudara mara dan jiran kerana tidak mampu membayar wang pendahuluan rumah sewa dan kos pengangkutan barangan.

“Terdapat sembilan rumah di plot C akan dirobohkan 10 Oktober ini manakala penduduk di plot A dan B akan berpindah hujung tahun ini,” katanya.

Sebelum Harian Metro melaporkan, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling merobohkan 36 rumah daripada 92 rumah yang dibina atas tanah rizab sungai bagi memberi laluan projek pelebaran Sungai Kedongdong bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Dilaporkan banjir kilat kerap berlaku di Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Hulu, Paya Jaras Tengah, Paya Jaras Dalam serta sebahagian Merbau Sempak dan Kubu Gajah.

Projek tebatan banjir itu bermula 2 Disember 2015 dan sepatutnya disiapkan pada 31 Mei 2017 namun mengalami kelewatan serius disebabkan pencerobohan tanah kerajaan.

Berita berkaitan

'Tunggu kelulusan permohonan zakat - Sivarasa'

'Tolonglah...saya sudah terdesak'

LZS kenal pasti 9 keluarga miskin

Jangan politikkan isu Paya Jaras Hilir

Ke mana kami mahu pergi?

'Tak peduli kenapa roboh, kami tetap bantu' - LZS

Dah tiga kali tangguh...

'Kami semua bukan itik'

Mahu tangguh roboh rumah

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 4:58pm
d