mutakhir

Wisma Putra pantau perkembangan kumpulan pengganas

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

BARISAN pimpinan Pakatan Harapan (PH) sudah mengadakan perbincangan berhubung penahanan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikatakan terbabit dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Menteri Luar yang juga Ketua Sekretariah PH, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, bagaimanapun perbincangan dilakukan secara tidak rasmi.

“PH (kepimpinan tertinggi) tidak membuat perbincangan secara rasmi mengenai penahanan (ADUN) berkenaan, namun ianya dibincangkan sesama pimpinan semalam.

“Buat masa ini kita hanya mengikut segala prosedur yang dilakukan oleh pihak polis, biar polis yang lakukan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kencing Manis di Dewan Sebaguna Indera Mahkota 2, di Kuantan, hari ini.

Pada Khamis lalu, dua ADUN dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Mereka ditahan Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi khas dilancarkan di enam negeri.

Kedua-dua ADUN itu dikesan menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November tahun lalu dan memberikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan pengganas terbabit selain turut mengedarkan risalah berkaitan kumpulan itu.

Dalam pada itu Saifuddin turut memaklumkan Wisma Putra sentiasa mengikuti perkembangan kumpulan pengganas di seluruh dunia dan bukan hanya LTTE.

Beliau berkata, Wisma Putra mengambil kira banyak perkara dalam menentukan sama ada satu organisasi itu pengganas atau sebaliknya.

“Bagi sesetengah negara atau badan-badan antarabangsa definisi keganasan itu sendiri mungkin berbeza dengan penilaian kita, sebagai contoh bagi Israel, (kumpulan) Hamas dan Fatah adalah kumpulan pengganas tetapi bagi kita tidak.

“Malah ada sesetengah organisasi yang satu ketika dahulu radikal, namun hari ini sudah jadi moden dan terbabit dalam pilihan raya..tidak kurang juga ada kumpulan pengganas yang tidak lagi wujud, jadi Wisma Putra perlu berhati-hati dalam membuat penilaian,” katanya.

Berita berkaitan

Polis tak tahan tanpa sebab - KPN

Bukan tahan suka-suka

Tujuh termasuk dua ADUN ditahan [METROTV]

Tahan pengganas, bukan kerana kaum - Polis

Dua ADUN ditahan polis [METROTV]

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 1:25pm
d