mutakhir

Isu komik: Polis minta bantuan pakar sejarah

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS akan menemu bual pakar sejarah dari universiti tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes komik propaganda bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan - Meraih Manfaat Bersama’, dalam masa terdekat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, temu bual itu bagi membolehkan pihaknya mendapatkan pandangan pakar berhubung fakta yang terkandung dalam komik berkenaan.

“Polis akan temu bual pakar sejarah dari universiti tempatan dalam masa terdekat. Perincian lanjut mengenai latar belakang pakar itu dan berapa ramai yang ditemu bual akan diberitahu kemudian selepas selesai mendapatkan pandangan daripada pakar berkaitan.

“Kita juga tidak membuat sebarang tangkapan baharu berhubung isu sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, semua kepemimpinan tertinggi parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dilaporkan sudah sepakat supaya siasatan berhubung komik kontroversi itu diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pada Khamis lalu, KDN dilaporkan mempunyai asas kukuh mengharamkan komik itu kerana boleh memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata KDN sudah meneliti kandungan komik terbabit dan ia mengandungi perkara serius termasuk ia diedarkan di sekolah.

Rabu lalu, tiga individu, termasuk bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung penerbitan dan pengedaran komik yang didakwa berunsur propaganda.

Berita berkaitan

4 hadir bantu siasatan komik

Siasat siapa keluarkan komik

KDN haramkan komik kontroversi

KPM tak beri kebenaran edar komik

Polis sudah panggil penulis komik [METROTV]

Disiarkan pada: October 28, 2019 @ 1:06pm
d