mutakhir

Letusan gunung berapi: Rakyat Malaysia parah [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

SEORANG rakyat Malaysia parah dan kini dirawat di Hospital Christchurch selepas diselamatkan anggota penyelamat dalam insiden letusan gunung berapi di White Island, New Zealand, semalam.

Dalam kejadian 2.11 petang waktu tempatan itu, Wisma Putra mengesahkan mangsa kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi hospital itu dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington masih belum menerima maklumat lanjut berhubung warga Malaysia yang dilaporkan terkorban sebelum ini.

Sementara itu, jurucakap Wisma Putra ketika dihubungi berkata, pihaknya bekerjasama dengan kerajaan New Zealand dan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan identiti mangsa.

“Kami kini mengusahakan perincian mengenai lokasi mangsa. Di hospital mana mangsa dihantar. Setakat ini saya tidak mempunyai maklumat mengenainya dan selepas kami mendapatkan semua maklumat, kami akan memaklumkannya,” katanya.

Suruhanjaya Tinggi juga menasihati rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan berhampiran rantau itu berhati-hati dan mengikut arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Di Wellington, pihak berkuasa mengesahkan lapan hilang manakala enam maut dan lebih 30 cedera dalam kejadian letusan gunung berapi di pulau sebelah utara New Zealand, White Island.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dalam satu sidang media berkata, White Island yang juga sebuah pulau tarikan pelancong meletus semalam dan berdasarkan tinjauan udara dilaporkan tiada terselamat dalam tragedi itu.

“Terdapat dua kumpulan melawat pulau itu, ada antara mereka berjaya dibawa keluar manakala selebihnya tidak dapat diselamatkan.

“Antara pelancong yang dikenal pasti ialah dari Australia, Amerika Syarikat, Britain, China dan Malaysia yang dilaporkan maut, hilang dan cedera,” katanya dalam satu sidang media khas di Whakatane seperti dilapor Reuters.

Ardern berkata, helikopter penyelamat mengambil tindakan berani untuk terbang menyelamatkan mangsa selepas letusan itu.

“Saya perlu akui tindakan berani yang dibuat oleh juruterbang pertama dan kedua dalam usaha menyelamatkan mangsa perlu dipuji dalam keadaan berbahaya untuk mendapatkan mereka

yang masih hidup.

“Hasil usaha mereka beberapa orang diselamatkan dari pulau itu,” katanya.

Sementara itu, Penguasa Polis Waikato, Bruce Bird berkata, 47 orang melawat pulau itu semalam dan enam disahkan terbunuh manakala lapan masih hilang.

“Seramai 31 orang kini dirawat di hospital, 27 daripadanya mengalami luka terbakar pada badan sebanyak 71 peratus manakala tiga dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Katanya, polis tidak menjangkakan untuk mencari mangsa yang selamat daripada letusan itu berikutan ramai yang cedera berada dalam keadaan kritikal kebanyakannya luka terbakar.

White Island terletak kira-kira 50 kilometer dari pantai timur Pulau Utara dan letusan gunung berapi itu setinggi 3,658 meter ke udara.

Berita berkaitan

Lebih 24 orang mungkin sudah mati

Nyaris terkena letusan

Gunung berapi di New Zealand meletus

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 8:21pm
d