mutakhir

ADUN, tiga lelaki tidak mengaku terbabit LTTE

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

EMPAT lelaki termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

P Gunasekaren, 60; Ahli DAP, V Suresh Kumar, 43; peniaga B Subramaniam, 57, dan pengutip besi buruk A Kalaimughilan, 28 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Tamil dan Melayu.

Pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Gunasekaren, Suresh Kumar, Subramaniam dan Kalaimughilan masing-masing didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook atas nama berlainan iaitu ‘Dap Guna Palanisamy’, ‘US SUBRA SUBRAMANIAM’, ‘RocketSuresh DAP’ dan ‘Kalai Mugilan’.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman masing-masing pada 2 petang dan 6 petang, antara 7 Oktober dan 11 Oktober lalu.

Kalaimughilan pula didakwa dengan tiga lagi pertuduhan berbeza iaitu mengedar item, memberi sokongan dalam majlis dan memberi sokongan di aplikasi YouTube berkaitan LTTE.

Bagi pertuduhan mengedar item dan memberi sokongan dalam majlis berkaitan LTTE, dia didakwa melakukan perbuatan itu di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap, Kuala Lumpur pada 8 hingga 11.30 malam, 17 Mac 2014.

Bagi pertuduhan mengedar item berkaitan pengganas, dia didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Manakala bagi pertuduhan memberi sokongan dengan cara menggunakan aplikasi YouTube, Kalaimugilan didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 24, Bahagian E8 (Counter Terrorism), Cawangan Khas, Bukit Aman pada 10 pagi, 2 Jun 2014.

Sementara untuk pertuduhan memberi sokongan, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman dan Aslinda Ahad.

Muhammad Jamil menetapkan 20 Januari 2020 untuk penyerahan dokumen dan pengurusan kes bagi Gunasekaran.

Sementara itu, Mohamed Zaini menetapkan pengurusan kes pada 15 Januari depan bagi Suresh Kumar dan Subramaniam serta 3 Januari bagi Kalaimughilan.

Berita berkaitan

Kes LTTE: Jaminan 2 ADUN, CEO ditolak

Keputusan jamin 2 ADUN, CEO esok [METROTV]

Tolak jaminan tertuduh berkaitan LTTE [METROTV]

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 5:39pm
d