mutakhir

Kes lemas kedua babitkan penuntut PSMZA

Oleh Rosli Ilham

KEJADIAN lemas berlaku di Pantai Teluk Bidara Seberang Pintasan, Dungun, petang semalam adalah kes kedua membabitkan penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, selain kejadian semalam, kejadian pada 3 Ogos 2016 mengorbankan Muhamad Nawi Musa, 21, yang berasal dari Chendering, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, rakan mangsa, S Barathratnam, 20, diselamatkan 12 penuntut lain.

“Semalam, empat lagi penuntut PSMZA, Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee, 21, Mohamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, 21, Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, dan Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, dikhuatiri lemas dan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang dipergiatkan.

“Mereka dipercayai lemas selepas dipukul ombak besar. Bagaimanapun, dua rakan mereka Muhamad Irfan Kamaruzaman, 21, dari Rawang, Selangor dan Hazman Zamili, 21, dari Kelantan berjaya menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Baharudin berkata, selain dua kes membabitkan penuntut PSMZA, tragedi lemas di pantai itu turut mengorbankan dua lagi remaja sebelum ini.

Beliau berkata, dalam kejadian 4 April 2018, mangsa Muhammad Haikal Mohamood Fuzi, 17, dari Dungun ditemui lemas.

“Seorang lagi mangsa, Syed Mustaffa Syed Mohamad Suhaimi, 18, turut menjadi korban di situ dalam kejadian pada 14 Disember 2014 dan sehingga hari ini jasadnya tidak ditemui.

“Semua kejadian lemas di pantai terbabit berlaku sekitar 6.15 petang dan 6.30 petang.

“Kami minta kepada semua pengunjung supaya tidak mandi di semua kawasan pantai di daerah ini sehingga musim tengkujuh tamat sepenuhnya," katanya.

Berita berkaitan

'Kereta terbabas teringat anak'

'SAR empat penuntut PSMZA diteruskan'

'[UPDATE] Terpisah dipukul ombak'

'4 penuntut politeknik dikhuatiri lemas [METROTV]'

Disiarkan pada: January 18, 2020 @ 1:17pm
d