mutakhir

Kanak-kanak yatim piatu terima pencen penakat

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

KANAK-kanak lelaki berusia tiga tahun yang terselamat dalam kemalangan mengorbankan ahli keluarganya di Sungai Siput, Perak pada 13 Februari lalu menerima pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), hari ini.

Mohammad Fariz Iskandar Mohamad Faiz, 3, menerima pencen penakat kedua-dua arwah ibu bapanya sebanyak RM977.12 sebulan sehingga berusia 21 tahun dan tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda pertama sekiranya berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob berkata, semakan awal mendapati arwah Lans Koperal Mohamad Faiz Bukhari dan isterinya Nik Idayu Nik Hasan pernah mencarum dengan Perkeso.

“Sebelum berkhidmat sebagai anggota polis dan isterinya pernah bekerja di sebuah syarikat elektronik lebih lima tahun sekali gus melayakkan kedua-duanya mendapat pencen penakat.

“Bagi memastikan kebajikan Mohammad Fariz Iskandar, kami mengambilnya sebagai anak angkat Perkeso Kelantan ketiga selepas dua beradik iaitu Nur Fathiyah Nasrul Fakhri 8, dan Muhammad Haziq, 10, yang selamat dalam kemalangan di Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di Raub, Pahang pada 4 Mei lalu tahun lalu.

“Kami akan menjaga kebajikan Mohammad Fariz Iskandar termasuk persekolahan seperti tuisyen dan kelas motivasi selain mengadakan lawatan secara berkala ke rumah penjaga kanak-kanak ini bagi memantau perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Faedah Pengurusan Mayat di rumah keluarga arwah di Kampung Jambu, Panji, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Ibu Pejabat Polis (IPD) Sungai Siput, Asisten Superintendan Mohd Rohaizimi Razali.

Nora berkata, pihaknya berharap bantuan itu dapat membantu meringankan beban ditanggung penjaga kanak-kanak ini.

Dalam nahas pada 10.20 malam itu, Mohamad Faiz, 28 yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, maut bersama isteri, Nik Idayu Nik Hasan, 30; anak bongsunya, Mohammad Faqih Irshad Mohamad Faiz, 2, serta adik ipar, Nik Ifieka Nik Hassan, 28.

Bagaimanapun, anak sulung mereka Mohammad Fariz Iskandar, yang parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPP), Ipoh.

Terdahulu Nora menyampaikan bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kedua-dua arwah berjumlah RM4,000 kepada waris kanak-kanak itu, Che Senah Che Awang, 62.

Sementara itu, Che Senah berkata, dia akan mengambil tanggungjawab menjaga cucunya.

“Cucu masih dirawat di ICU HRPP, Ipoh dan dalam keadaan stabil, namun masih lagi perlu dipantau oleh doktor.

“Selepas lebih seminggu berada dalam keadaan koma, Mohammad Fariz Iskandar mula sedarkan diri sejak tiga hari lalu.

“Tetapi dia masih keadaan trauma terutama apabila orang yang tidak dikenali cuba mendekatinya,” katanya.

Katanya, kini, cucunya dijaga ibu dan bapa saudaranya .

Che Senah berkata, jika keadaannya bertambah baik, kemungkinan dia akan dipindahkan ke hospital di Kota Bharu untuk memudahkan urusan penjagaannya.

Berita berkaitan

'Impian akhir bina rumah [METROTV]'

'Bersemadilah dengan aman [METROTV]'

'Tanda tapak rumah sebelum dijemput Illahi'

'[UPDATE] Pemandu treler direman empat hari'

'[UPDATE] Empat maut, bukan lima [METROTV]'

'Lima termasuk bayi maut kemalangan'

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 3:06pm
d