mutakhir

Jemaah tabligh usah berdegil

Oleh Zuliaty Zulkiffli

JEMAAH tabligh di daerah Kubang Pasu yang belum melakukan pemeriksaan kesihatan selepas menyertai perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur, bulan lalu diminta tampil secara sukarela sebelum tindakan diambil.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat jika mengetahui jemaah tabligh yang enggan berbuat demikian.

Katanya, pemeriksaan kesihatan penting untuk memastikan mereka bebas daripada jangkitan wabak Covid-19.

“Kita berharap mereka datang secara sukarela jalani pemeriksaan dan jangan sampai polis tangkap mereka jika berjaya dikesan.

“Ianya penting untuk memastikan Kubang Pasu bebas daripada wabak Covid-19 kerana jumlah kes semakin meningkat di negara ini,” katanya ketika ditemui di sekatan pemeriksaan di Jitra, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Ismail berkata, kolaborasi pemeriksaan antara polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuahkan hasil.

Menurutnya, ini kerana jumlah pergerakan orang awam di jalan raya semakin berkurangan, dan kebanyakan mereka yang diperiksa mempunyai urusan kerja.

Katanya, pemeriksaan 24 jam di lokasi tertentu akan berterusan sehingga arahan PKP berakhir bagi menangani penularan wabak Covid-19.

“Malah, kawalan di sempadan termasuk di lubang tikus diperketatkan bagi memastikan tiada aktiviti keluar masuk secara haram,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 23, 2020 @ 8:06pm
    d