mutakhir

Musim ambil gaji, tentera dan polis bantu kawal bank [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mungkin ditempatkan di bank dan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berikutan kemungkinan orang ramai berpusu-pusu secara serentak susulan kemasukan gaji pekerja swasta dan kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, anggota keselamatan berkenaan akan membantu polis bantuan atau pengawal keselamatan bank mengawal orang ramai sekali gus memastikan penjarakan sosial dipatuhi untuk mengelakkan penularan Covid-19.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, beliau berharap sesiapa sahaja yang mahu mengeluarkan wang di bank dan di mesin ATM tetap mematuhi penjarakan sosial.

“Gaji akan dibayar oleh pihak kerajaan dan majikan masing-masing pada tempoh ini. Justeru, kita menjangkakan akan berlaku kesesakan di bank dan di mesin ATM.

“Jadi kita menjangkakan orang ramai akan berpusu-pusu di bank dan mesin ATM. Kita akan minta kepada pihak polis dan tentera jika perlu di kawasan bank dan ATM supaya pematuhan kepada penjarakan sosial juga dilakukan apabila berlaku proses pengeluaran wang di dua lokasi berkenaan.

“Kita mungkin akan meminta kepada polis bantuan yang bekerja di bank atau pun pengawal keselamatan bekerja di bank untuk mengawal dari segi jumlah kemungkinan berlaku kemasukan (orang ramai) serentak,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, pihak bank juga akan menentukan berapa ramai yang berada di dalam bank untuk memastikan bahawa penjarakan sosial dilaksanakan sewaktu pengeluaran wang.

Susulan itu, beliau menegaskan supaya semua yang ingin mengeluarkan wang mengikut arahan dikeluarkan oleh petugas di bank sama ada polis bantuan, pengawal keselamatan atau PDRM dan ATM yang akan bertugas membantu pematuhan PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 4:27pm
    d