mutakhir

Sabah henti sementara 'perdagangan barter'

Oleh Yun Mikail

KERAJAAN negeri menghentikan sementara perdagangan barter di negeri ini sebagai langkah membendung penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ia membabitkan kira-kira lapan kapal yang menghantar barangan daripada Indonesia dan Filipina.

“Kapal ini juga bukan sahaja menghantar barang kepada kita tetapi turut mendapatkan beberapa keperluan daripada negeri ini.

“Kita bimbang disebabkan ramai pekerja kapal datang daripada luar negara yang tidak diketahui tahap kesihatan mereka.

“Dua negara ini juga sudah kita maklumkan tentang perkara ini. Oleh itu, lebih baik kerajaan negeri mengambil pendekatan hentikan sementara sehingga masalah berkaitan Covid-19 selesai,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, Menteri Pelajarandan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusuf Yakob dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass.

Sementara itu, Mohd Shafie memaklumkan kerajaan negeri juga sudah membuka Pusat Operasi Covid-19 Sabah sejak 18 Mac lalu.

“Ia akan beroperasi 24 jam membabitkan sembilan agensi kerajaan termasuklah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Kebajikan Am Negeri.

“Inisiatif ini adalah bagi kesiapsiagaan negeri dalam menangani wabak Covid-19.

“Melalui pusat operasi terbabit, kita bukan hanya memperincikan pelan tindakan susulan tetapi turut memutuskan beberapa ketetapan yang akan diumumkan di peringkat masyarakat akar umbi.

“Selain itu, ia juga sekali gus dapat membendung segala maklumat yang boleh mengelirukan rakyat mengenai Covid-19 di negeri ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 24, 2020 @ 5:01pm
    d