mutakhir

Penuntut Terengganu di Timur Tengah terima bantuan

Oleh Baharom Bakar

SERAMAI 2,000 penuntut beberapa universiti di Timur Tengah menerima bantuan berjumlah RM100,000.

Bantuan secara tunai untuk membeli makanan dan minuman itu dihantar terus kepada pegawai Hal Ehwal Pelajar yang dipertanggungjawabkan Yayasan Terengganu (YT) untuk menjaga kebajikan penuntut dari negeri ini di Mesir dan Jordan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Datuk Osman Muda berkata, 500 penuntut dari negeri ini belajar di universiti di Mesir dan 1,500 lagi di Jordan.

Jelasnya, semua penuntut itu terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan kerajaan negara berkenaan.

“Penuntut berkenaan bukannya terkandas untuk balik ke negeri ini sebaliknya mematuhi perintah mengehadkan pergerakan bagi mengelak dijangkiti wabak Covid-19 seperti yang dikuatkuasakan kerajaan negara itu.

“Keluarga penuntut yang terkesan berikutan arahan terbabit tidak perlu bimbang, jangan terpedaya dengan berita tidak berasas dimuat naik melalui laman sosial pihak tidak bertanggungjawab,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis MAIDAM di sini, hari ini.

Osman berkata demikian sebagai mengulas dakwaan yang tular di laman sosial mendakwa penuntut dari negeri ini terkandas di Lapangan Terbang di Mesir dan Jordan berikutan arahan PKP oleh kerajaan negara berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Osman menjelaskan, ahli keluarga mangsa disyaki dijangkiti wabak Covid-19 dan sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akan menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM500, membabitkan jumlah keseluruhan RM19,000.

“Setakat ini, 30 mangsa disyaki dijangkiti Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di HSNZ,” katanya sambil mengakui berlaku sedikit kekeliruan mengenai kenyataan semalam.

Osman menjelaskan, bantuan sekali bayar RM500 bukannya untuk ahli keluarga petugas barisan hadapan di hospital yang bertungkus lumus memerangi Covid-19.

“MAIDAM memperuntukkan RM30,000 untuk petugas barisan hadapan di hospital dan ahli keluarga mereka.

“Peruntukan itu untuk kegunaan pengurusan HSNZ menyediakan makanan dan minuman kepada petugas dan ahli keluarga mereka,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 8:21pm
    d