mutakhir

Minum arak ingkar PKP

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

TIGA lelaki yang sedang menikmati minuman keras di tepi jalan Kampung Taman Jaya ditahan polis petang semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif berkata tiga suspek terbabit ditangkap polis pada jam 6.20 petang.

Katanya, polis turut menahan dua lagi suspek pada jam 6.50 petang yang duduk di taman permainan di Taman Megah dan gagal memberi alasan munasabah berada di situ.

" Kesemua suspek lingkungan usia 24 hingga 43 tahun itu ditangkap oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD ) Jempol yang sedang membuat rondaan PKP.

" Soal siasat dijalankan mendapati kesemua suspek mengaku mengetahui mengenai PKP menerusi media dan internet namun masih ingkar dengan arahan dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Khairiel berkata, kesemua suspek dibawa ke Hospital Jempol bagi menjalani pemeriksaan dan disahkan negatif jangkitan COVID-19.

Katanya, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan juga mengikut Peraturan 7 ( Peraturan - Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah - Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan direman sehingga Selasa depan.

" Orang ramai diminta mengikut arahan dikeluarkan bagi mengelak dikenakan tindakan undang - undang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 28, 2020 @ 9:29pm
    d