mutakhir

APMM bantu nelayan di Kota Kinabalu

Oleh Juwan Riduan

MENYEDARI nelayan terjejas dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini menyantuni golongan itu dengan menghulurkan sumbangan barangan keperluan harian.

Sumbangan diserahkan sendiri oleh Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Rosli Abdullah dengan menaiki Bot Ronda Pengawal 38 bersama Bot Kilat.

Mohd Rosli berkata, selain menjalankan rondaan pelaksanaan PKP di sekitar perairan ini, pihaknya turut memberi sumbangan keperluan harian kepada nelayan bot kecil.

“Bantuan yang kita berikan khusus kepada nelayan bot kecil yang lebih menangkap ikan untuk keperluan keluarga.

“Kita menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian seperti beras gula, tepung, minyak masak dan biskut,” katanya ketika ditemui dalam rondaan APMM di perairan Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Dalam pada itu Mohd Rosli berkata, selain keberkesanan pematuhan PKP, pihaknya turut memantau setiap pergerakan daripada penduduk di sekitar pulau berhampiran Kota Kinabalu dalam menjalankan aktiviti secara minimum di perairan berkenaan.

“Kini aktiviti di laut amat berkurangan dan bot penambang boleh dikatakan hampir tiada. Hanya ada nelayan yang menangkap ikan untuk keperluan harian mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta masyarakat maritim di negeri ini terus mematuhi pelaksanaan PKP sehingga 14 April hadapan bagi menghentikan penularan wabak Covid-19 khususnya di negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 6:12pm
    d