mutakhir

Kejar 20 kilometer

Oleh Nurul Amanina Suhaini

TIGA individu termasuk seorang wanita ditahan selepas dikejar lebih 20 kilometer kerana mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jalan Permas 2/4 di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi itu, kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS terserempak sebuah kereta Proton Saga yang mencurigakan ketika melakukan rondaan di Jalan Permas 1, di sini, .

Katanya, anggota MPV kemudiannya menghampiri kereta terbabit dan mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan.

“Namun kereta itu terus memecut ke Kampung Plentong Baru dan Jalan Permas 2. Apabila sampai di Jalan Permas 2/4, kereta dinaiki individu terbabit berjaya dipintas.

“Ketiga-tiga suspek cuba keluar dari kereta dan melarikan diri bagaimanapun berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, suspek warga tempatan berusia 25 hingga 40 tahun itu dibawa ke IPD JBS untuk tindakan lanjut.

“Soal siasat terhadap suspek didapati gagal memberi keterangan yang munasabah untuk berada di luar rumah dan mereka juga mengaku enggan memberikan kerjasama serta mencabar pihak polis untuk menangkap mereka.

“Semakan nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia didaftarkan atas penama ayah tiri seorang daripada suspek,” katanya.

Kesemua yang ditahan mempunyai rekod lampau bersabit dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 30, 2020 @ 8:59pm
    d