mutakhir

PKP dilanjut, terpaksa berhenti kerja di Singapura

Oleh Omar Ahmad

“SAYA terpaksa ambil keputusan untuk berhenti kerja di Singapura selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April ini,” demikian luahan seorang warga negeri ini yang mencari nafkah di republik itu.

Muhammad Syafiq Jaafar, 28, yang bekerja di sebuah restoran di Singapura sejak dua tahun lalu terpaksa mengambil keputusan itu kerana isterinya baru sahaja melahirkan anak kedua mereka 25 Mac lalu.

Katanya, sewaktu PKP pertama, dia memilih untuk tidak masuk ke Singapura kerana ketika itu, isterinya sarat mengandung dan menunggu masa untuk melahirkan anak.

“Pada PKP pertama, saya memilih untuk cuti tanpa gaji kerana isteri sedang sarat mengandung dan akan kembali bekerja di Singapura apabila PKP tamat hari ini.

“Bagaimanapun, tempoh PKP dilanjutkan dan saya tiada pilihan selain terpaksa berhenti kerja.

“Buat sementara, saya akan gunakan wang simpanan bagi menampung keperluan keluarga dan bayi perempuan,” katanya.

Sementara itu, Amalina Darus, 34, yang mengambil keputusan untuk bekerja di Singapura terpaksa menahan rindu bagi bertemu anak tunggalnya yang berusia enam tahun.

Katanya dia mengambil keputusan untuk terus bekerja kerana terikat dengan kontrak pekerjaan.

“Saya tidak pernah berjauhan dengan anak dalam tempoh panjang. Anak kini dijaga suami di rumah di Johor Bahru.

“PKP dilanjutkan dan saya akur. Saya harap ini PKP terakhir kerana terlalu rindukan anak serta suami,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 3:36pm
    d