mutakhir

Saringan berperingkat penghuni Menara City One [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat diantara 17 kes positif Covid-19 di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah di ibu negara mempunyai kaitan dengan kes indeks kluster tabligh Masjid Sri Petaling.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks itu menjangkiti ahli keluarga yang berkenaan

menyebabkan kebanyakan positif melibatkan tiga apartmen di lokasi itu yang babitkan ahli keluarga seramai 12 orang.

Sehubungan itulah, katanya, KKM bertindak menasihatkan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk kawasan berkenaan selepas kes meningkat dengan mendadak di lokasi itu.

“Proses saringan (penghuni Menara One City) sudah dilaksanakan sejak malam tadi. Semua penghuni apartmen akan jalani saringan secara berperingkat,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, MyMetro melaporkan lebih 20 kakitangan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tiba jam 1.50 petang tadi bagi membuat saringan penghuni Menara City One.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan lokasi yang mempunyai 3,200 penghuni di 502 unit kondominium serta perniagaan itu dilaksanakan perintah PKPD.

PKPD itu adalah yang pertama dilaksanakan di ibu negara yang mana sebelum ini, kerajaan melaksanakan PKPD di Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor, serta kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut menjelaskan mengenai dua kumpulan umur masyarakat paling tinggi kes positif Covid-19 di negara ini membabitkan lingkungan 26 hingga 30 tahun dan 56 hingga 60 tahun.

“Faktor umur muda ramai positif mungkin pelajar yang kembali dari luar negara atau mereka sering keluar walaupun ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Manakala, untuk kumpulan 56 hingga 60 tahun mungkin ketua rumah yang selalu keluar untuk membeli barang dan sebagainya kemudian dijangkiti ketika keluar itu,” katanya.

Mengenai peningkatan kes memerlukan bantuan pernafasan, pula, katanya, KKM sudah dapatkan peralatan itu dan ada tempat dan ruang untuk mereka dirawat.

“Sekarang kita tengah lihat bagaimana kita dapat tingkatkan lagi sumber manusia contohnya pakar bius atau perkhidmatan intensif dan juga jururawat yang dapat merawat mereka.

“Sebabnya sekarang kes semakin meningkat, jadi kakitangan sedia ada bekerja seolah-olah setiap hari 24 jam. Apa yang KKM buat contohnya kita kerahkan pakar bius, perkhidmatan intensif dan jururawat dari hospital lain ke Hospital Sungai Buloh.

“Kita juga sudah membuka peluang kepada pakar perkhidmatan intensif atau pun pakar bius di hospital swasta untuk membantu KKM,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 31, 2020 @ 8:30pm
    d