mutakhir

Keadaan terkawal penduduk tak panik

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

“KEADAAN masih terkawal dan penduduk tidak panik,” kata penduduk Kampung Batu 20 mengenai perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tujuh kampung di Sungai Lui, Hulu Langat sejak 30 Mac lalu.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Halimah, 50-an, berkata, kebanyakan penduduk mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak keluar rumah secara kerap.

“Perintah itu (PKPD) tidak membabitkan kampung ini, namun semua penduduk mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak keluar rumah secara kerap selaras dengan arahan kerajaan.

“Pada masa sama, kami berkomunikasi melalui mesej dalam kumpulan WhatsApp untuk mengetahui maklumat serta menasihati antara satu sama lain.

“Setakat ini, keadaan terkawal dan kami tidak panik mahupun bimbang dengan situasi berkenaan,” katanya ketika ditemui di sebuah kedai runcit di Kampung Batu 20, Sungai Lui, hari ini.

Menurutnya, dia hanya keluar rumah sekali sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

“Sebelum PKP, saya ada membuat pembelian barang keperluan dan makanan untuk saya serta anak dan ini adalah kali pertama saya keluar rumah untuk mendapatkan bekalan barangan yang sudah habis,” katanya yang juga ibu tunggal.

Sementara itu, seorang penjaga kedai runcit warga Indonesia di Kampung Batu 20 yang hanya mahu dikenali sebagai Irwan, 33, berkata, jumlah pelanggan berkurangan sepanjang tempoh PKP.

“Sekarang ini jumlah pelanggan hanya antara 20 orang sepanjang perintah itu. Jumlah ini sedikit berbanding hari biasa.

“Sebelum ini, kedai runcit dibuka jam 8 pagi hingga 8.30 malam tapi bermula hari ini, ia akan ditutup jam 8 malam selaras dengan arahan dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, walaupun kedai runcit berkenaan terletak 500 meter dari sekatan jalan raya dilakukan pihak berkuasa terhadap tujuh kampung lain, dia memaklumkan tidak bimbang dengan situasi itu.

“Saya tidak bimbang dengan keadaan ini, namun mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng (penutup hidung dan mulut) ketika berinteraksi dengan pelanggan,” katanya yang sudah bekerja di kedai runcit berkenaan sejak 2017.

PKPD dilaksanakan di tujuh kampung di kawasan berkenaan berkuat kuasa tengah malam 30 Mac lalu hingga 13 April depan.

Tujuh penempatan terbabit adalah Kampung Batu 21, Kampung Batu 22, Kampung Batu 23, Kampung Batu 24, Kampung Gemi, Kampung Orang Asli Paya Lebar dan Kampung Orang Asli Sungai Gabai.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 1, 2020 @ 3:52pm
    d