mutakhir

Fatimah turut dikuarantin

Oleh Mohd Roji Kawi

MENTERI Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, turut menjalani kuarantin selepas beliau antara yang menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan Covid-19, Jumaat lalu lalu.

Beliau adalah ahli Kabinet Sarawak yang kedua diarah menjalani kuarantin diri di rumah selama 14 hari, selepas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Fatimah dalam jawapan ringkasnya ketika dihubungi aplikasi WhasApp hari ini mengakui beliau kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

"Ya, saya pun kena kuarantin di rumah. Tetapi saya terus bekerja seperti biasa walaupun berada di rumah.

"Banyak surat masuk hari ini, ada yang memohon tambahan bekalan makanan, jadi saya kena bekerja," katanya yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan Covid-19.

Fatimah berkata, pihaknya sedaya upaya memastikan tiada rakyat Sarawak terputus bekalan makanan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Walaupun dikuarantin, kami akan terus memantau proses penghantaran bekalan makanan ke kawasan pedalaman yang akan dilaksanakan dengan menggunakan helikopter tentera," katanya.

Arahan kuarantin dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri selepas salah seorang ahli jawatankuasa khas yang menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Awang Tengah itu disahkan positif Covid-19.

Difahamkan, semua yang terbabit termasuk ketua jabatan yang menghadiri mesyuarat berkenaan juga diarah supaya menjalani kuarantin diri di rumah sebagai langkah keselamatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 6:06pm
    d