mutakhir

37 ingkar PKP ditahan

Oleh Mohd Roji Kawi

POLIS terus mengambil tindakan ke atas individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila 37 ditahan dalam tempoh 24 jam mulai jam 8 pagi semalam hingga 8 pagi, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan kerana melanggar PKP di Sarawak sejak 18 Mac lalu hingga hari ini, seramai 349 orang.

Beliau berkata, sejak 18 Mac lalu juga, seramai 191 orang sudah dituduh di Mahkamah dengan 164 daripadanya mengaku bersalah manakala 19 orang tidak mengaku salah.

“Daripada jumlah itu, seramai 78 orang dipenjara, 38 dijatuhkan hukuman penjara dan denda, manakala 30 orang didenda.

“Waran tangkap juga dikeluarkan terhadap lapan individu kerana tidak hadir ke Mahkamah, manakala 18 orang sudah mengaku salah menunggu laporan akhlak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa orang ramai di negeri ini supaya mematuhi PKP yang kini memasuki fasa kedua yang akan berakhir 14 April ini.

Sementara itu, seorang lelaki yang ditahan di belakang sebuah kedai di Jalan Matang petang semalam kerana melanggar PKP turut didapati membawa beberapa peralatan mencurigakan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, antara barang yang dibawa suspek berusia 38 tahun dari Petra Jaya ialah spanar boleh laras, lapan unit spanar pelbagai saiz, dua playar, kikir besi, dan pemutar skru.

“Ketika disoal siasat, suspek gagal memberikan alasan munasabah sebaliknya memberitahu terpaksa keluar untuk berjumpa rakan.

“Berikutan itu suspek ditahan mengikut Peratuan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah dalam kawasan Tempat Kejadian) 2020 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 7:07pm
    d