mutakhir

Padah langgar zon tangkapan ikan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

TINDAKAN empat nelayan menangkap ikan menggunakan dua bot kenka di luar kawasan yang dibenarkan menerima padah apabila ditahan Jabatan Perikanan Perak, semalam.

Dalam kejadian 9.15 pagi itu, mereka ditahan sepasukan anggota Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Sitiawan di kedudukan 7.8 batu nautika dari Tanjung Kuala Gula, Bagan Serai.

Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata, bot berkenaan didapati beroperasi di luar zon tangkapan dibenarkan dan tidak mengusahakan sendiri.

Menurutnya, semua nelayan berusia 30 hingga 50 tahun bersama bot kemudian dibawa ke Pangkalan Perikanan Kuala Kurau untuk siasatan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

“Jabatan Perikanan mengingatkan semua nelayan supaya mematuhi peraturan dan zon tangkapan ikan yang ditetapkan mengikut lesen selain tidak menggunakan peralatan yang dilarang seperti bubu naga.

“Untuk kelangsungan bekalan ikan juga, mana-mana bot yang lesennya sudah tamat tempoh masih dibenarkan untuk beroperasi ketika ini termasuk nelayan darat.

“Justeru, jangan mengambil kesempatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kerana operasi penguat kuasaan tetap dijalankan,” katanya ketika dihubungi di Manjung, hari ini.

Dalam pada itu, Zaki berkata, sepanjang tempoh PKP, trend pendaratan ikan di Perak didapati menurun sebanyak 30 peratus.

Menurutnya, ia disebabkan kurang mendapat permintaan berikutan sebahagian perniagaan seperti pasar dan kedai makan ditutup, selain ada nelayan yang takut turun ke laut susulan wabak Covid-19.

Bagaimanapun katanya, setakat ini bekalan ikan di Perak masih mencukupi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 5:34pm
    d