mutakhir

Gelandangan juga dibantu

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

BERSIMPATI dengan nasib gelandangan di sekitar Bandar Kota Bharu, Kelab Sukarelawan (Volunteer i Care) mengagihkan pek makanan siap masak kepada mereka untuk mengalas perut.

Pengerusinya Muhammad Afiq Aiman Sukry berkata, pihaknya kemudian menggunakan khidmat penghantar makanan bagi mengagihkan pek makanan itu kepada kira-kira 30 gelandangan.

Katanya, selain asnaf, gelandangan juga harus dibantu kerana kemungkinan mereka terpaksa berlapar menunggu ada pihak menghulur makanan ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19.

“Sumbangan yang dihulurkan tidak semestinya dalam bentuk wang ringgit mahupun harta benda kerana yang paling penting adalah keikhlasan serta memudahkan urusan pihak yang menerimanya,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Afiq Aiman berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan, pihaknya sudah mengagihkan bantuan pek makanan kepada 553 keluarga asnaf di sekitar Kota Bharu, Tumpat dan Pasir Puteh.

“Ia bertujuan untuk membantu mereka yang terputus atau kekurangan bekalan makanan keperluan harian selepas PKP mula dikuat kuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Pada masa sama, kami juga masuk ke kawasan kampung untuk mengagihkan pek makanan ini di pintu rumah asnaf yang sakit dan tidak mampu bergerak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 5:46pm
    d