mutakhir

32 individu ingkar arahan PKP

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

MAHKAMAH Majistret Bahau hari ini menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas 32 individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman berkenaan selepas semua tertuduh berusia antara 16 hingga 70 tahun itu mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah secara berasingan.

Kesemua tertuduh dituduh mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 7 PPPB dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Khir Nizam menjatuhkan denda RM1,000 kepada 13 tertuduh dan tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Lapan tertuduh pula dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari manakala empat tertuduh didenda RM800 dan tambahan tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Khir Nizam turut menjatuhkan hukuman penjara selama 30 hari ke atas seorang tertuduh.

Seorang tertuduh wanita pula dijatuhkan hukum penjara dua bulan selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas pemantauan PKP.

Dua tertuduh didenda RM500 dan dua bulan penjara jika gagal membayar denda manakala seorang tertuduh dipenjara lima hari dan denda RM800.

Di mahkamah sama, seorang remaja berusia 16 tahun ditawarkan ikat jamin sebanyak RM800 dengan seorang penjamin selepas didapati bersalah melanggar PKP sementara menunggu laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 18 Mei depan.

Seorang lagi remaja berusia 18 tahun dijatuhkan hukuman denda RM700 dan dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 6:47pm
    d