mutakhir

Gagal seludup ketam nipah, lokan

Oleh Ruwaida Md Zain

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pelabuhan Klang berjaya menggagalkan cubaan menyeludup ketam nipah dan lokan bernilai RM75,500 ketika menjalankan operasi rondaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di perairan Laut Tanjung Gabang, Kuala Langat, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria berkata, dalam kejadian 11 pagi itu, PPM dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang dalam rondaan bersama pematuhan PKP di kawasan perairan Selangor.

“Bertindak atas maklumat, Pasukan Gerakan Udara dan Unit Udara APMM mengesan sebuah bot yang mencurigakan bergerak dari perairan antarabangsa ke Laut Tanjung Gabang.

“Bot ronda PPM dan APMM tidak dapat menghampiri kawasan pantai memandangkan keadaan paras air surut ketika itu, ” katanya dalam satu kenyataan di Pelabuhan Klang, hari ini.

Hazri berkata, beliau menghubungi dan mengarahkan Unit Gempur Marin (UNGERIN) yang berada di kawasan itu untuk membuat pintasan melalui jalan darat.

Beliau berkata, Unit UNGERIN berjaya menahan dan memeriksa sebuah bot tidak bernombor berwarna biru di dalam hutan bakau.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemui 17 bakul ketam dan 10 guni lokan dipercayai diseludup dari negara jiran dan ditinggalkan apabila menyedari kehadiran polis.

“Suspek disyaki seorang warga Indonesia melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis,” katanya.

Beliau berkata, UNGERIN membawa keluar bot terbabit dan menyerahkannya kepada bot ronda PPM dan APMM untuk ditunda ke Jeti Markas Operasi PPM Wilayah Satu Pelabuhan Klang.

Menurutnya, kes itu diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk siasatan di bawah Akta Maqis 2011.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 7:28pm
    d