mutakhir

Pendapatan 1,100 pemandu bas ekspres terjejas

Oleh Samadi Ahmad

“SEJAK arahan menghentikan perkhidmatan bas ekspres, kami hilang punca pendapatan termasuk sukar untuk membayar gaji pemandu.

“Walaupun tidak menjalankan perkhidmatan, bas berkenaan perlu diselenggara dan memerlukan kos tinggi,” kata Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA), Tajudin Mohd Yunus.

Beliau berkata, impak itu ditanggung pengusaha bas ekspres ekoran wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac lalu dan secara keseluruhan, pengusaha bas ekspres menghentikan perkhidmatan sejak 20 Mac lalu.

Menurutnya, sejak itu mereka tiada pendapatan sehingga sekarang dan menyukarkan pengusaha.

“Sebelum ini ada syarikat boleh menerima pendapatan RM20,000 hingga RM50,000 sebulan bergantung kepada jumlah bas dimiliki.

“Ketika ini, nasib lebih 1,100 pemandu bas terjejas apabila mereka tidak bekerja, namun pengusaha bas masih perlu membayar gaji mereka selain 300 kakitangan lain.

“Masalah ini membebankan pengusaha industri pengangkutan bas ekspres dan perniagaan ini semakin sukar kerana perlu mendapat titik pulangan modal (BEP) sekurang-kurang RM1,500 ke RM2,000 sehari,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 3, 2020 @ 8:28pm
    d