mutakhir

PKPD: Kementerian bincang dengan tiga kedutaan asing

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PERBINCANGAN dengan tiga kedutaan asing di negara ini akan dilakukan bagi menyelaraskan rakyat mereka yang tinggal di flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan berbincang dengan kedutaan India, Pakistan dan Bangladesh kerana rakyat mereka majoriti keseluruhan penduduk di dua flat berkenaan yang diarahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan wabak Covid-19.

“Satu mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Kementerian Wilayah, akan diadakan hari ini, yang akan turut membabitkan tiga wakil kedutaan ini.

“Sudah tentu isu utama apabila kita melaksanakan PKPD adalah keperluan harian semua penduduk terbabit dan KWP akan meminta bantuan tiga kedutaan asing berkenaan membantu rakyat mereka,” katanya ketika ditemui selepas meninjau flat berkenaan, di sini, hari ini.

Annuar berkata, penyelarasan ini termasuklah penyampaian mesej dalam bahasa asing, logistik dan keperluan harian penduduk.

“KWP juga akan sentiasa mendapatkan maklum balas dan situasi semasa dari KKM berhubung perancangan susulan tentang aktiviti premis perniagaan di kawasan berhampiran sama ada perlu ditutup atau boleh diteruskan.

“Segala keputusan itu bakal diputuskan berdasarkan situasi semasa, jika keadaan semakin serius dan membimbangkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 7, 2020 @ 5:29pm
    d