mutakhir

Tiada gelandangan warga asing dijangkiti Covid-19

Oleh Yusmizal Dolah Aling

TIADA gelandangan bukan warganegara di ibu negara yang dijangkiti Covid-19.

Perkara itu disahkan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa selepas saringan dilakukan kepada semua gelandangan baru-baru ini.

Katanya ia termasuklah mereka yang diletakkan di Dewan Serbaguna Alam Damai seramai lebih 70 orang.

“Alhamdulillah hasil ujian adalah negatif ke atas gelandangan bukan warga negara yang kita tempatkan di dewan itu,” katanya pada sidang media menerusi Facebook hari ini.

Menurutnya, satu pasukan khas pelbagai agensi kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja dan badan bukan kerajaan (NGO) akan ditubuhkan untuk menjaga kebajikan gelandangan terutama ketika menjelang Ramadan.

Katanya, pihaknya akan bersama mereka yang terbabit menguruskan golongan itu untuk memikirkan pelan jangka panjang bagi memastikan Kuala Lumpur bersih daripada gelandangan.

“Untuk itu saya nak memaklumkan, selepas berbincang, Kementerian Wilayah Persekutuan memperuntukkan RM1 juta tahun ini untuk membantu usaha menyelamatkan gelandangan.

“Sebahagiannya akan diberikan kepada NGO yang tampil ke hadapan untuk memberikan tenaga mereka misalnya kaunseling dan kesihatan. Saya akan masukkan NGO utama dalam pasukan khas force supaya kita berganding bahu buat secara bersama.

“Dana ini juga akan digunakan untuk melengkapkan kemudahan kepada gelandangan teemasuk asrama yang disediakan DBKL dan syarikat. Juga kepada keperluan gelandangan itu sendiri,” katanya.

Annuar berkata, pihaknya mengambil pendekatan yang lebih mampan kerana dari segi jangkaan, akan ada gelandangan baru menggantikan kumpulan sedia ada selepas ini.

“Sebab itu kita mahu bekerjasama dengan NGO supaya bangkitkan kesedaran jangan bergelandangan, pilih jalan lain, ada banyak agensi, individu yang membantu. Kalau pun ada masalah sosial, keluarga, kewangan , kita tidak mahu melihat rakyat negara kita, orang kita terjebak dalam situasi sedemikian,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 14, 2020 @ 5:29pm
    d