mutakhir

Tiada kes positif di PKPD Simpang Renggam semalam

Oleh Mohamed Farid Noh

TIADA kes positif wabak Covid-19 baharu dicatatkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Baru Datuk Ibrahim Majid, Simpang Renggam dekat sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, perkembangan positif itu terhasil daripada usaha kerajaan selain pematuhan masyarakat kepada PKPD dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam mengekang penularan wabak itu di negeri ini.

Katanya, kerajaan Johor akan terus memastikan pelaksanaan PKPD di Simpang Renggam dipantau dengan rapi selaras pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang mengumumkan pelanjutan tempoh PKPD di kawasan berkenaan sehingga ke 28 April ini.

“Perkembangan positif ini perlu diteruskan dengan semua pihak terutama penduduk perlu berdisiplin dan sentiasa mematuhi PKPD dan PKP untuk memutuskan rangkaian Covid-19.

“Beberapa mukim yang sebelum ini mempunyai kes Covid-19 di negeri ini juga kini tidak lagi merekodkan kes baharu berikutan pematuhan kepada PKP.

“Kawasan berkenaan adalah Mukim Pengkalan Raja/Jeram Batu, Mukim Benut dan Mukim Rimba Terjun di daerah Pontian selain Mukim Jelutong dan Mukim Tanjung Kupang di daerah Johor Bahru.

“Turut bebas dari kes positif baharu wabak itu adalah Mukim Peserai di Batu Pahat; Mukim Padang Endau di Mersing dan Mukim Machap di daerah Kluang,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Vidyananthan berkata, Johor mencatatkan sebanyak 349 jumlah kes kumulatif sembuh iaitu peningkatan sebanyak 13 kes semalam.

“Sehingga semalam Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melaporkan penambahan sebanyak lapan kes baharu Covid-19 yang menjadikan jumlah sebanyak 587 kes di negeri ini dengan satu kes kematian baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 14 orang, sehingga kini, ” katanya.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, isu membabitkan pengurusan jenazah bukan Islam di negeri ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat mengenai pengurusan jenazah sepanjang tempoh PKP, khususnya bagi waris dan keluarga.

“Garis panduan pengurusan jenazah bukan Islam yang terbabit dengan kes positif Covid-19 dipantau Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, termasuk di mortuari, tanah perkuburan dan di krematorium.

“Oleh yang demikian, pengurus jenazah tidak perlu bimbang kerana pengurusan akan dipantau oleh pegawai yang akan memastikan keselamatan mereka yang menguruskan serta ahli keluarga yang hadir.

“Bagi pengurusan jenazah yang tidak berkaitan dengan kes Covid-19, pengurusan perlu mengambil kira peraturan berkaitan dengan perhimpunan sepanjang PKP dengan bilangan yang terbabit mestilah dalam kumpulan yang kecil, iaitu tidak lebih 10 orang dan hanya membabitkan ketua keluarga, ahli keluarga terdekat dan ketua acara keagamaan sahaja,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 11:40am
    d