mutakhir

Teguran ATM untuk disiplin rakyat

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

TEGURAN anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga ada pihak yang terasa dan berkecil hati, adalah semata-mata untuk kebaikan semua.

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga ini, tindakan lebih tegas dipraktikkan demi mendisiplinkan rakyat supaya lebih patuh, sekali gus memutuskan rantaian Covid-19.

Katanya, sikap orang awam juga adalah cerminan kepada layanan anggota terhadap mereka sepanjang penguatkuasaan PKP.

“Andai mana-mana individu yang berkecil hati ketika ditegur atau dikenakan tindakan tegas anggota, itu adalah demi kebaikan dalam menghapuskan rantaian wabak.

“Jika (rakyat) bertindak lembut dengan kami, maka lembutlah kami (ketika melayani rakyat)... sebab sudah ‘posture’ tentera ini macam itu dan ia umpama tentera tanpa senjata, pastinya ia adalah sesuatu yang pelik.

“Sebab kami ini adalah jentera kerajaan, anggota tentera ini luarannya tampak garang, tetapi sebenarnya baik... jika sudah namanya tentera, kami terpaksa begitu (kelihatan garang dan tegas),” katanya ketika ditemui dalam lawatannya ke Op Penawar di Jejawi hari ini.

Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Nazir Mami; Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad; Panglima 30 Briged Brigadier Jeneral Hassan Embong dan Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Mengulas lanjut, Ahmad Hasbullah meminta rakyat untuk berubah menjalani kehidupan ketika PKP fasa ketiga dan peka dengan keadaan semasa.

“Sepatutnya kita sudah biasa dengan ritma dan tempo dalam menjalani kehidupan seharian sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu, pemikiran dan gaya hidup sememangnya kena berubah.

“Kalau masih dengan gaya pemikiran lama, maka tidak akan berjaya lah misi kerajaan untuk menghapuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, tiada keperluan untuk pihaknya pakaian celoreng penuh dan helmet di kawasan yang tidak digazetkan sebagai zon merah atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 15, 2020 @ 4:09pm
    d