mutakhir

Ramai mohon rentas negeri

Oleh Nor Farhani Che Ad

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di Sungai Petani diserbu orang ramai yang ingin membuat permohonan rentas negeri terutama untuk bekerja sejak Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, situasi itu berlaku disebabkan mereka yang menetap di Sungai Petani perlu berulang-alik ke tempat kerja di Pulau Pinang.

"Ramai yang datang membuat permohonan dengan alasan sedemikian biarpun saya sudah mengatakan mereka cukup sekadar menunjukkan surat daripada majikan ketika melalui sekatan jalan raya.

"Tapi mereka takut disoal macam-macam menyebabkan mereka minta juga surat polis, itu yang menjadi kebanjiran di IPD Kuala Muda," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Adzli berkata, pihaknya turut menerima permohonan daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpaksa pulang ke tempat pengajian untuk mengambil barangan keperluan mereka.

Beliau berkata, pihaknya menolak permohonan yang tidak mempunyai alasan kukuh seperti kematian ahli keluarga atau menziarahi saudara yang sedang sakit.

"Kita sudah ada aturan yang ditetapkan seperti pengebumian tidak boleh dalam jumlah yang ramai, jadi alasan seperti itu memang kita terpaksa tolak," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun serta-merta terhadap 10 individu yang hadir membuat permohonan surat rentas negeri selepas didapati melakukan rentas negeri tanpa kebenaran.

"Ada (pemohon) dari Selangor dan negeri lain dengan memberi pelbagai alasan seperti melawat saudara dan sebagainya.

"Bila kita dapati mereka melakukan rentas negeri tanpa kebenaran, kita akan kompaun dulu baru dikeluarkan surat kebenaran untuk pulang ke kediaman mereka semula," katanya.

Berita berkaitan:

  • Suami, isteri boleh mohon rentas negeri
  • Suami isteri 'PJJ' boleh rentas negeri esok
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 3:52pm
    d