mutakhir

Anak mangsa bunuh stabil

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

ANAK pensyarah wanita yang mati dijerut sebelum mayatnya ditemukan berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, di Sepang, Khamis lalu dilaporkan stabil.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Dr Zaitol Salleh berkata, pihaknya bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff sudah melawat remaja perempuan berusia 14 tahun itu semalam.

Menurutnya, hasil lawatan itu, pihaknya turut memberi kaunseling kepada remaja terbabit yang trauma selepas insiden itu.

"Alhamdulillah keadaannya stabil dan kita juga sudah memberi sesi kaunseling kepadanya.

"Remaja terbabit kini berada di rumah ahli keluarganya di Kajang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Siti Zailah dalam kenyataannya di Facebook mengucapkan takziah dan mendoakan keluarga serta sahabat Profesor Madya Dr Maizatulnisa Othman tabah menghadapi apa yang terjadi.

Maizatulnisa, 40, ditemukan mati dijerut oleh suaminya menggunakan tudung berhampiran tasik berkenaan.

Suspek berusia 41 tahun itu, turut berpura-pura mencari isterinya itu bersama anak perempuan berusia 14 tahun selepas membunuhnya sebelum menghubungi Mers 999 mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 1.04 pagi.

Berita berkaitan

Tempahan e-hailing bongkar pembunuhan pensyarah

Selam cari telefon bimbit pensyarah dibunuh

Kes bunuh pensyarah: Suami dipercayai curang

Cari isteri hanya lakonan suami

Anak mangsa luah rindu

Bunuh isteri guna tudung

Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 3:20pm
d